suria

Angkara bil elektrik tertunggak, adik maut ditetak abang

PERTENGKARAN dua beradik yang disebabkan rasa tidak puas hati berakhir dengan tragedi apabila seorang daripada mereka meninggal dunia akibat ditetak dengan senjata tajam, malam Ahad.

Dalam kejadian sekitar jam 11.40 malam itu, mangsa berusia 35 tahun ditemui terbaring dalam keadaan berlumuran darah di kaki lima hadapan kedai makan keluarganya di Pantai Remis, Seri Manjung.

Difahamkan, mangsa berang selepas abangnya berusia 37 tahun bertengkar dengan ibu mereka mengenai bil elektrik kedai makan yang tertunggak.

Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Muhammad Hanif Othman berkata, mangsa yang terdengar percakapan kasar terhadap ibunya terus datang dan memukul abangnya yang ketika itu sedang mengemas dapur kedai dengan senjata tajam.

"Mangsa kemudiannya telah melarikan diri ke bahagian luar sebelum dijumpai terbaring dalam keadaan kepala berlumuran darah, pemeriksaan lanjut menemui kesan kecederaan di kepala mangsa dipercayai kesan tikaman.

"Suspek yang merupakan abang kepada mangsa kemudiannya telah ditahan dan direman selama tujuh hari bermula hari ini (Isnin) bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan," katanya.

Beliau berkata, ketika anggota polis tiba di lokasi, mangsa masih hidup dan dalam keadaan separa sedar, namun tidak lama kemudian kaku dan tidak bergerak lagi.

Katanya, pegawai perubatan yang membuat pemeriksaan mengesahkan mangsa yang bekerja sebagai pembantu kedai itu telah meninggal dunia.

"Mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh untuk bedah siasat pagi ini," katanya. - Sinar Harian

bil elektrik, tetak, pertengkaran

Artikel Lain