Maut kemalangan, mangsa ditemui bersama buku agama, al-Quran - Semasa | mStar

Maut kemalangan, mangsa ditemui bersama buku agama, al-Quran

Keadaan motosikal mangsa yang terlibat kemalangan dengan sebuah lori pengangkut sampah.

SEORANG pemuda maut dalam kejadian kemalangan membabitkan motosikal dengan sebuah lori pengangkut sampah, di Jalan Baling-Weng berhampiran Sekolah Kebangsaan Penghulu Abu Bakar di Baling, Kedah pada Khamis.

Dalam kejadian pukul 10.30 pagi itu, mangsa, Muhammad Yaakub Abu Bakar, 23, yang menunggang motosikal ditemui maut bersama sebuah buku agama dan senaskah al-Quran.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Baling, Penolong Penguasa Mohd Jamil Mat Daud berkata, pihaknya dengan kekuatan enam anggota bergegas ke lokasi kejadian setelah menerima panggilan jam 10.45 pagi dan sebaik tiba di lokasi, mangsa didapati tersepit di bawah lori berkenaan.

"Anggota bertugas menggunakan beg udara bagi mengangkat lori dan menyelamat mangsa. Pihak bomba mengambil masa selama 15 minit untuk selamatkan mangsa tersepit," katanya.

Beliau berkata, mangsa yang meninggal dunia di lokasi kejadian diserahkan kepada pihak polis bagi tindakan seterusnya.

Sementara itu, Adun Bayu, Abd Nasir Idris turut memberhentikan kenderaan ketika melalui kawasan itu bagi memberi pertolongan dalam perjalanan dari Kampung Becah Sawa ke Pejabat Pusat Khidmat Wakil Rakyat DUN Batu di Pekan Baling.

"Bersama arwah, kita temui sebuah buku agama dan senaskah al-Quran," katanya sambil memberitahu arwah sering mengimarahkan surau. - Sinar Harian

buku agama , al-Quran

Artikel Lain