Kecoh video pelajar dipukul rakan sekelas tular - Semasa | mStar

Kecoh video pelajar dipukul rakan sekelas tular

Tangkapan skrin klip video yang tular menunjukkan pelajar dipukul oleh rakan sekelasnya.

KLIP video yang menunjukkan seorang pelajar lelaki berusia 14 tahun di sebuah sekolah menengah di Kuala Pilah, Negeri Sembilan, diserang oleh rakan sekelasnya, tular di media sosial.

Mangsa yang mengalami kecederaan di kepala dan badan, dilihat diserang di kawasan sekolah kira-kira pukul 2.30 petang Rabu (3 Julai).

Difahamkan mangsa dibawa ke kawasan berhampiran kawasan parkir motosikal oleh seorang pelajar lain, mendakwa individu yang terbabit dalam perselisihan faham dengannya sebelum itu mahu meminta maaf.

Sebaik mangsa tiba di tempat kejadian, seorang individu dilaporkan memohon maaf dan kemudian menolaknya semasa dia hendak beredar, mengakibatkan mangsa terjatuh.

Pelajar itu kemudian memukul kepala mangsa yang terbaring di tanah, dan menendangnya.

Salah seorang pelajar yang turut berada di tempat kejadian membuat rakaman insiden menggunakan telefon bimbit.

Menerusi klip tersebut, kedengaran pelajar-pelajar lain bersorak terhadap penyerang berkenaan.

Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Superitendan Haslah Bachok berkata, mangsa yang ditemani ibu bapanya membuat laporan polis di balai polis Seri Menanti pada kira-kira 11 malam Rabu.

"Kita akan memanggil beberapa pelajar bagi membantu siasatan.

"Setakat ini, hanya seorang pelajar yang menyerang mangsa," tambahnya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan. - The Star

video , pelajar , pukul

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain