suria

Penduduk terkejut batu nisan dicabut, dibakar

Kira-kira 30 kubur di Tanah Perkuburan Islam As-Syakirin, Bachang dirosakkan batu nisannya dipercayai angkara individu tidak bertanggungjawab. Gambar Kecil:Nik Syukran Muiz Rashid (atas) dan Nasran Mehat.FOTO: Sinar Harian.

PENDUDUK digemparkan dengan kejadian kira-kira 30 batu nisan di Tanah Perkuburan Islam As-Syakirin, Bachang, Melaka dicabut, dipecahkan malah sebahagiannya dibakar.

Perbuatan khianat itu yang dipercayai dilakukan oleh individu tidak bertanggungjawab disedari penduduk kira-kira jam 8 malam Jumaat.

Seorang penduduk, Nik Syukran Muiz Rashid, 35, mendakwa, sekurang-kurangnya lima kubur ahli keluarganya telah dirosakkan.

"Sebaik diperiksa saya dapati kubur arwah datuk, nenek, sepupu dan beberapa kubur bapa saudara telah dirosakkan manakala sebahagian dibakar.

"Apabila mendapat tahu kejadian ini, saya rasa marah dan timbul tanda tanya mengapa individu terbabit buat macam ni? Saya berharap pihak polis dapat mengesan si pelaku dan membawanya ke muka pengadilan," katanya ketika ditemui di tanah perkuburan terbabit.

Sementara itu, Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK), Sarang Helang, Bachang, Nasran Mehat berkata, kejadian yang berlaku bukanlah kali pertama, malah seminggu sebelum Ramadan lalu, sebuah kubur turut dirosakkan batu nisannya dipercayai angkara khianat.

"Apa yang pelik, kesemua batu nisan yang dirosakkan itu melibatkan kubur kira-kira tujuh keluarga yang sama dipercayai tindakan seolah-olah dirancang pihak tertentu.

"Saya dimaklumkan oleh beberapa penduduk selepas terlihat salah satu kubur dibakar di atasnya, manakala beberapa batu nisan turut dicabut dan dipecahkan lalu terus melaporkan kepada pihak polis untuk diambil tindakan," katanya.

Menurut Nasran, beliau turut mengesyaki perbuatan merosakkan batu nisan tersebut dipercayai ada kaitan dengan beberapa kejadian membaling batu dan memecahkan cermin juga tingkap membabitkan dua masjid dan sebuah surau di kampung berkenaan.

"Kejadian semalam berlaku kira-kira jam 4.30 pagi, apabila Masjid As-Syakirin dan Masjid Ar-Razaq serta sebuah surau di Kampung Baroh, Bachang telah dibaling batu sehingga menyebabkan cermin kaca dan tingkap pecah.

"Pihak tidak bertanggungjawab terbabit seterusnya mengulangi lagi perbuatan itu, dengan membaling batu pada cermin tingkap Masjid As-Syakirin selepas solat Jumaat semalam dan memaksa kami membuat beberapa laporan polis," katanya.

Sepasukan anggota polis turut kelihatan menjalankan siasatan diketuai Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Afzanizar Ahmad.

Cubaan petugas media mendapatkan komen bagaimanapun gagal kerana beliau enggan mengulas. - Sinar Harian.

Artikel Lain