suria

Peranti digital termasuk telefon bimbit dilarang dalam mesyuarat kerajaan bincang isu sensitif

Telefon bimbit dilarang dibawa masuk ke dalam mesyuarat kerajaan yang membincangkan perkara dasar dan rahsia rasmi.

ZON larangan untuk semua telefon bimbit dan peranti digital ditetapkan dalam mesyuarat kabinet, mesyuarat pasca kabinet dan mesyuarat Exco di mana perkara berkaitan dasar dan rahsia rasmi dibincangkan.

Menurut arahan yang dikeluarkan kerajaan buat pertama kali pada Januari, ia merupakan sebahagian daripada usaha untuk mengekang kebocoran, dengan larangan tersebut turut membabitkan jam pintar, pen pintar, kamera, perakam video dan suara dan tablet.

Gajet seumpamanya turut dilarang dibawa masuk ke dalam mesyuarat yang membincangkan isu-isu seperti keselamatan negara, bajet persekutuan, pertahanan, hubungan antarabangsa termasuk mesyuarat peringkat tinggi di kementerian, jabatan dan agensi kerajaan.

Ketua Pengarah Keselamatan Kerajaan, Datuk Sanusi Sidek berkata, peranti tersebut turut dilarang dalam perbincangan mengenai tender kerajaan, aktiviti penguatkuasaan dan semua mesyuarat berkaitan dengan pelaksanaan kerajaan.

"Ini menjadi keperluan kerana penggunaan peranti berkenaan yang tidak terkawal di agensi kerajaan boleh mempunyai implikasi negatif dan kompromi terhadap keselamatan.

"Ia juga boleh melanggar peruntukan dalam Akta Rahsia Rasmi 1972," katanya dalam arahannya, menerusi satu salinan yang diperoleh The Star.

Pada April lalu, Dewan Rakyat diberitahu bahawa zon terhad yang melarang telefon bimbit atau peranti komunikasi lain yang mampu merakamkan maklumat dilaksanakan di kementerian dan jabatan kerajaan untuk mencegah kebocoran maklumat sulit kerajaan. - The Star

Artikel Lain