suria

Wira tak didendang ATM dihargai, akhiri kempen #kongsinikmat BSN-mStar

Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Panglima Zulkifli Zainal Abidin bergambar kenangan bersama Anggota Angkatan Tentera Malaysia.

KOMITED menghargai komuniti menerusi tanggungjawab sosial korporat (CSR), Bank Simpanan Nasional (BSN) berkongsi nikmat sempena kedatangan Ramadan dan Syawal tahun ini.

Mengakhiri kempen #kongsinikmat anjuran BSN dengan kerjasama mStar di bawah Star Media Group pada Khamis, wira-wira negara dihargai dan kali ini membabitkan pasukan keselamatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Momen bersejarah itu menyaksikan kira-kira 500 anggota ATM, terdiri daripada Tentera Darat Malaysia (TDM), Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) menerima sumbangan menerusi kempen #kongsinikmat BSN-mStar.

ARTIKEL BERKAITAN: Perhebat CSR sempena Ramadan, BSN-mStar kongsi nikmat hargai wira tak didendang

Bertempat di Auditorium Kementerian Pertahanan Malaysia (Mindef) di Kuala Lumpur, ia sempurnakan oleh Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Panglima Zulkifli Zainal Abidin dan Ketua Pegawai Eksekutif BSN, Datuk Yunos Abd Ghani.

Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Panglima Zulkifli Zainal Abidin menyampaikan cenderamata kepada Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) BSN, Datuk Yunos Abd Ghani.

Hadir sama, Ketua Pegawai Kewangan BSN, Jay Khairil Jeremy Abdullah.

Turut diadakan perjumpaan Panglima Angkatan Tentera bersama warga Angkatan Tentera Malaysia sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri.

Terdahulu, Jay Khairil berkata, jika sebelum ini BSN lebih menumpukan golongan yang memerlukan dan kurang berkemampuan, namun jelasnya, konsep kali ini melibatkan pasukan keselamatan.

"Pasukan keselamatan juga merupakan sebahagian daripada masyarakat dan mereka berkorban untuk memelihara kesejahteraan rakyat.

"Oleh itu, menerusi kempen ini kita mahu mengetengahkan jasa pasukan bomba, polis dan tentera kepada masyarakat dan ia seharusnya mendapat penghargaan," ujarnya.

Jeneral Tan Sri Panglima Zulkifli Zainal Abidin mengagihkan sumbangan kepada anggota Angkatan Tentera Malaysia.

Pada masa sama, beliau berharap inisiatif yang digerakkan oleh BSN itu akan memupuk kesedaran pelbagai pihak termasuk sektor korporat dan masyarakat untuk bersama-sama memberi pengiktirafan kepada wira-wira tidak didendang.

Selain Angkatan Tentera Malaysia (ATM), kempen #kongsinikmat anjuran BSN dengan kerjasama mStar turut mendekati pasukan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Pihak BSN berkongsi nikmat, menghargai komuniti menerusi tanggungjawab sosial korporat .

Tiga lokasi lagi adalah Balai Bomba dan Penyelamat Jalan Hang Tuah di Kuala Lumpur pada 10 Mei lalu, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur di Jalan Hang Tuah (14 Mei), dan Balai Bomba dan Penyelamat Shah Alam di Seksyen 15 di Shah Alam, Selangor (16 Mei).

Warga kerja BSN dan Star Media Group yang diwakili portal gaya hidup dan hiburannya, mStar turut turun pandang pada setiap acara kempen #kongsinikmat yang diadakan.

Artikel Lain