Warga sekolah Pulau Ketam lebih selesa, Yayasan Eco World hulur dana RM36,000 - Semasa | mStar

Warga sekolah Pulau Ketam lebih selesa, Yayasan Eco World hulur dana RM36,000

Pengerusi Yayasan Eco World, Tan Sri Lee Lam Thye merasmikan majlis penyerahan peralatan oleh Yayasan Eco World kepada SMK Pulau Ketam.

UMUMNYA persekitaran Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pulau Ketam memang kelihatan serba kekurangan, sekaligus sukar menampung keperluan 375 pelajar dan 35 guru sekolah berkenaan.

Namun, mereka bernasib baik apabila Yayasan Eco World tampil bagi memastikan suasana pembelajaran lebih selesa untuk warga sekolah di pulau yang didiami kira-kira 2,000 penghuni itu.

Pengerusi Yayasan Eco World, Tan Sri Lee Lam Thye berkata, selepas meneliti keadaan sekolah berkenaan, pihaknya bersetuju memenuhi permintaan  bagi menggantikan kelengkapan sekolah yang tidak boleh diguna pakai.

"Peralatan baharu  bernilai RM36,000 yang disumbangkan Yayasan Eco World diharap dapat memberi manfaat kepada pelajar sekolah berkenaan dan mampu memberi keselesaan kepada mereka.

"Kami juga akan cuba membantu pelajar yang kurang berkemampuan di Malaysia, tidak kira kaum dan agama kerana itu antara usaha murni yayasan khusus untuk golongan yang memerlukan," katanya ketika berkunjung ke sekolah  berkenaan, Jumaat.

Rata-rata penduduknya mencari rezeki sebagai nelayan, Pulau Ketam dapat dikunjungi dengan menaiki feri selama kira-kira 40 minit dari terminat di Pelabuhan Klang.

Kata Lam Thye lagi, sumbangan itu adalah sebahagian daripada dana RM5 juta yang diperuntukan Yayasan Eco World bagi memenuhi setiap aspek keperluan pelajar di Malaysia termasuk Sabah dan Sarawak.

Sementara itu, Pengetua SMK Pulau Ketam, Ooi Bok Tiek berkata, pihaknya menghargai bantuan  Yayasan Eco World, lebih-lebih lagi ia dapat merealisasikan pelbagai projek di sekolah itu.

"Sumbangan ini tentu sekali akan memberi suntikan semangat dan dorongan kepada seluruh warga SMK Pulau Ketam untuk meneruskan usaha melakar kejayaan kecemerlangan yang berterusan," katanya.




Yayasan Eco World , Pulau Ketam

Artikel Lain