suria

Padam tapi tak lenyap! Hati-hati sebelum jual telefon, kalau tak yakin hantar dulu ke klinik pembersihan data

CyberSecurity Malaysia menubuhkan pusat sehenti Cyber999 untuk memudahkan orang ramai membuat aduan mengenai jenayah siber. -fotoPrey Anti theft

SUDAH menjadi satu kebiasaan, jika kita mahu menjual telefon segala data di dalamnya akan dipadam terlebih dahulu.

Tapi sejauh manakah keyakinan anda bahawa ia benar-benar sudah dipadamkan? Jika ragu-ragu, apa kata rujuk kepada CyberSecurity Malaysia (CSM) terlebih dahulu?

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif CSM, Datuk Dr Amiruddin Abdul Wahab, kaedah itu dapat membendung kecurian data siber dan mengelakkan anda menjadi mangsa eksploitasi.

"Biasanya, pengguna akan padam sendiri data dalam telefon seperti dokumen dan gambar sebelum ia dijual.

"Komputer atau telefon pintar, ia bahaya kerana biarpun sudah dipadam, masih boleh dijejak semula," katanya.

Di CSM, menerusi Klinik MyCyberSecurity, mereka menawarkan perkhidmatan pembersihan data kepada orang ramai termasuklah syarikat bagi menjamin privasi dan keselamatan mereka.

Malah, CSM turut menubuhkan pusat sehenti Cyber999 untuk memudahkan orang ramai membuat aduan mengenai jenayah siber dan mereka sehingga kini menerima hampir 1,000 laporan.

"Apabila menerima laporan, kita akan analisis dan salurkan kepada pihak berkaitan.

"Sebagai contoh, jika kesalahan melibatkan akta di bawah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia, kita akan serahkan maklumat kepada suruhanjaya itu untuk tindakan susulan," katanya.

Kata Amiruddin, SM bertindak sebagai pakar teknikal yang mana peranan mereka untuk membantu dan memberi sokongan termasuklah forensik digital kepada pihak yang terlibat dalam siasatan jenayah siber.

Antara kes yang pernah dikendalikan pasukan forensik digital CSM termasuklah dalam mengenal pasti suspek kes pembunuhan kucing di dobi layan diri pada tahun lalu. - The Star.

Artikel Lain