suria

“Saya tidak akan benarkan keluarga wakili saya, ia salah!” – Syed Saddiq jawab isu abang dapat layanan VIP

Syed Saddiq (kiri) menjawab dakwaan mengenai kehadiran Syed Abdullah pada Grand Final sesi kelayakan e-sukan Sukan SEA peringkat kebangsaan di Central i-City, Shah Alam Sabtu. Foto Facebook ESM

MENTERI Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman akhirnya bersuara mengenai isu abangnya, Syed Abdullah yang dilihat seperti tetamu khas pada Grand Final sesi kelayakan e-sukan Sukan SEA peringkat kebangsaan di Central i-City, Shah Alam, Sabtu lalu. 

Beliau berkata, dakwaan tersebut adalah tidak benar dan pihak penganjur iaitu Persatuan Sukan Elektronik Malaysia (ESM) telah pun tampil memberi penjelasan berhubung dakwaan itu.

“Ia (dakwaan) adalah amat salah kerana ia tidak benar. ESM telah pun mengeluarkan kenyataan untuk memperbetulkannya. 

“Dia datang tak dijemput, tetapi bila dikenali diajak ke depan. Tak perlu pun sebarang layanan istimewa,” katanya menerusi kenyataannya di Twitter miliknya pada Selasa.

ARTIKEL BERKAITAN: Tak dijemput, tapi duduk sebaris tetamu VIP... “Syed Abdullah tak wakili KBS, hadir sebagai peminat”


Presiden ESM, Datuk Ananth S. Nathan (tengah) bersama Syed Abdullah (empat, kanan) serta tetamu kehormat lain. Foto Facebook ESM

Syed Saddiq menegaskan bahawa beliau tidak akan membenarkan mana-mana ahli keluarganya untuk mewakili beliau pada mana-mana majlis rasmi.

“Saya tidak akan membenarkan keluarga saya mewakili saya. Ia adalah salah!” ujar beliau yang juga ahli Parlimen Muar itu.

Kecoh sejak Sabtu apabila abang kepada menteri berkenaan dilihat mendapat layanan VIP dan duduk sebaris dengan tetamu kehormat menyebabkan timbul spekulasi bahawa dia menggantikan adiknya yang tidak dapat hadir pada majlis tersebut.

Penjelasan Syed Saddiq di Twitter berhubung isu membabitkan abangnya, Syed Abdullah.

Bagaimanapun ESM selaku pihak penganjur tampil memberi penjelasan bahawa kehadiran Syed Abdullah adalah atas kapasiti peribadi.

“Persatuan ini memandang serius mengenai tuduhan yang dilemparkan oleh masyarakat berhubung kehadiran Syed Abdullah dan mempertikaikan layanan yang diberikan oleh kami selaku penganjur ke atas abang Menteri Belia dan Sukan itu.

“Setelah penelitian semula dibuat, beliau (Syed Abdullah) tidak dijemput dan kehadiran beliau pada program tersebut bukanlah mewakili menteri ataupun Kementerian Belia dan Sukan.

“Namun kehadiran beliau adalah di atas kapasiti peribadi sebagai peminat dan penyokong kepada pembangunan industri sukan elektronik," ujar ESM dalam satu posting di Facebook lewat Isnin malam.

Posting asal senarai tetamu yang hadir sebelum disunting. Foto Facebook

Isu tersebut timbul apabila pihak penganjur memuat naik posting bergambar di laman Facebooknya, Esports Malaysia selepas majlis berlangsung, petang Sabtu.

Menerusi posting berkenaan, Syed Abdullah dilihat bergambar di sebelah Presiden ESM Datuk Ananth S. Nathan bersama barisan tetamu VIP yang lain.

Berdasarkan komen netizen, posting asal tersebut yang menunjukkan Syed Abdullah hadir atas kapasiti ‘abang kepada Syed Saddiq’ telah disunting.

Posting yang telah dikemaskini menunjukkan nama Syed Abdullah telah dikeluarkan dari senarai tetamu, tetapi gambar-gambarnya kekal.

Artikel Lain