suria

Setahun menderita, pemuda hidap kanser tulang meninggal dunia

Kisah Mohd Shafuan Nor Azhar pernah mendapat liputan mStar pada 29 Mac lalu.

SELEPAS menderita kanser tulang sejak setahun lalu, Mohd Shafuan Nor Azhar akhirnya menghembuskan nafas terakhir pada Isnin malam.

Pemuda berusia 20 tahun itu meninggal dunia pada pukul 8.47 malam di Wad Onkologi dan Radioterapi Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Perkara itu disahkan abang kepada Allayarham, Mohd Nazarhairy Hafify.

ARTIKEL BERKAITAN: "Keluarga lebih penting" - Anak akur permintaan ibu hidap strok, berhenti kerja kali kedua... jaga adik kanser tulang

Menurut Nazarhairy, adiknya selamat dikebumikan di tanah perkuburan Sungai Rotan, Jelebu, Negeri Sembilan pada pukul 11.30 pagi, Selasa.

Dia menghembuskan nafas terakhir di sisi ahli keluarganya setelah keadaan kesihatannya merosot lewat kebelakangan ini.

Nazarhairy mengakui keadaan kesihatan Mohd Shafuan merosot lewat kebelakangan ini sebelum dia menghembuskan nafas terakhir.

"Alhamdulillah, adik saya sudah selamat dikebumikan hari ini. Dua tiga hari ni dia agak lemah, mungkin sebab kemoterapi.

"Semua ada di hospital sewaktu dia pergi untuk selamanya.

"Apa-apa pun terima kasih kepada semua yang tidak putus-putus mendoakan dia selama ini," ujar Nazarhairy sewaktu dihubungi mStar.

Menerusi laporan mStar pada 29 Mac lalu, Mohd Shafuan mengalami ketumbuhan di bahagian atas belakang badannya.

Kisah mengenai dirinya menjadi tular di laman sosial sehingga mengundang simpati ramai.

Lebih menimbulkan simpati apabila ibu arwah, Salmie Shafie, 46, juga terlantar sakit akibat strok sejak dua tahun lalu.

Selain Nazarhairy, bapanya Nor Azhar Hussin, 48, turut bertungkus lumus menjaga dua individu itu.

Mohd Shafuan, kanser tulang, viral

Artikel Berikut

Artikel Lain