suria

Rosmah tak sihat, peguam kemuka sijil sakit selepas prosiding tangguh 3 jam

DATIN Seri Rosmah Mansor tidak hadir pada prosiding sebutan kesnya yang didakwa meminta dan menerima rasuah berjumlah RM1.5 juta berhubung projek tenaga solar, di Mahkamah Tinggi di ibu negara kerana tidak sihat.

Pada mulanya kes itu bermula pukul 9 pagi di mana pasukan pembelaan dan pendakwaan dilihat memasuki ke kamar hakim.

Selepas prosiding dalam kamar hakim Collin Lawrence Sequerah, pihak media dimaklumkan mahkamah mahu melihat sijil tidak sihat untuk hadir ke mahkamah.

Berikutan itu, kes ditangguhkan selama tiga jam sehingga 12 tengah hari.

Selepas tempoh penangguhan itu dan apabila prosiding mahkamah bermula, peguam Datuk Jagjit Singh yang mewakili Rosmah mengemukakan kedua-dua sijil itu kepada mahkamah.

Pada prosiding sama, Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Dusuki Mokhtar mengemukakan permohonan lisan untuk memindahkan kes itu ke Mahkamah Tinggi 2 di hadapan Hakim Mohamed Zaini Mazlan kerana kes pengubahan wang haram membabitkan Rosmah dan kes membabitkan Datuk Rizal Mansor akan didengar di mahkamah sama.

Susulan itu, seorang lagi peguam Datuk Akberdin Abdul Kader mewakili Rosmah membantah permohonan lisan itu dan meminta pendakwaan membuat permohonan rasmi.

Mahkamah menetapkan 23 April depan untuk mendengar permohonan itu.

Pada 15 November tahun lalu, Rosmah mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan meminta dan menerima rasuah berjumlah RM1.5 juta berhubung projek pembekalan dan pemasangan tenaga solar di 369 sekolah luar bandar di Sarawak, dua tahun lalu.

Isteri bekas perdana menteri itu didakwa mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Rosmah, mahkamah, sijil sakit

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain