suria

Awas! Dua produk kosmetik dikesan mengandungi racun

ORANG awam perlu mengelak daripada membeli dan menggunakan dua produk kosmetik, krim Bao Fu Ling Snow Lotus dan Bao Fu Ling Skincare yang dikesan mengandungi racun berjadual jenis diphenhydramine.

Menurut kenyataan dikeluarkan Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) Kementerian Kesihatan (KKM) hari ini, penggunaan diphenhydramine tanpa pengawasan profesional kesihatan boleh mengakibatkan bahagian kulit yang disapu menjadi lebih sensitif kepada cahaya matahari dan boleh menyebabkan kesan alahan teruk.

"Kedua-dua produk kosmetik itu mengandungi diphenhydramine dan merupakan produk farmaseutikal perlu berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah, serta hanya digunakan untuk kelegaan sementara bagi kegatalan dan kesakitan akibat gigitan serangga, selaran matahari yang ringan dan kerengsaan kulit," katanya.

Beliau berkata notifikasi produk-produk kosmetik terlibat juga telah dibatalkan Pengarah Kanan Perkhidmatan Farmasi KKM, yang mana penjual dan pengedar produk-produk kosmetik itu diberi amaran untuk menghentikan penjualan dan pengedarannya dengan serta-merta.

"Individu didapati melanggar Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984 boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM25,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan pertama, serta denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan-kesalahan berikutnya.

"Sementara syarikat yang melakukan kesalahan boleh dikenakan denda sehingga RM50,000 untuk kesalahan pertama dan denda sehingga RM100,000 untuk kesalahan berikutnya," kata kenyataan itu.

Pengguna dan orang ramai yang ingin bertanya berkaitan produk kosmetik boleh menghantar email di [email protected] serta mereka juga boleh menyemak status notifikasi sesuatu produk kosmetik dengan melayari laman sesawang rasmi NPRA di http://www.npra.gov.my. - BERNAMA

produk kosmetik, racun, KKM

Artikel Lain