suria

‘Cik Miera’ sebak beri keterangan kes Adib

Siti Syafika Amira Mohd Rasani yang merupakan pengguna Facebook ‘Cik Miera’. Foto Bernama

JURURAWAT Institut Jantung Negara (IJN) yang memuat naik komen mengenai kematian anggota bomba Muhammad Adib Mohd Kassim tidak dapat menahan sebak semasa menceritakan mengapa beliau memuat naik status itu di laman Facebooknya, Jumaat lalu.

Siti Syafika Amira Mohd Rasani, 27, yang berkhidmat di bilik pembedahan IJN selama enam tahun berkata, hantaran itu dibuat kerana beliau mendapat tahu daripada pembantu pegawai pembedahan di IJN, Muhammad Ashraff Baruji bahawa anggota bomba terbabit ada memberitahu beliau dipukul.

"Saya dengar Ashraff sesudah habis melawat Adib, (Ashraff kata) saya (Ashraf) tanya sama ada dipukul, kali pertama Adib menggeleng, kali kedua, Adib menggeleng.... kali ketiga dia (Adib) mengangguk,” katanya pada prosiding inkues bagi menyiasat kematian Muhammad Adib.

ARTIKEL BERKAITAN: Inkues Adib: “Saya minta maaf, saya ikut emosi” – Cik Miera

Saksi itu juga berkata, akaun Facebook miliknya tidak lagi aktif kerana beliau menerima banyak mesej peribadi selepas beliau memuat naik status mengenai Muhammad Adib.

Katanya, dia dipanggil oleh pengurus besar IJN untuk meminta penjelasan berhubung status FB itu.

Saksi itu juga tidak dapat menahan sebak dan mengalirkan air mata ketika menjawab soalan pegawai pengendali inkues Zafran Rahim Hamzah berhubung apa yang membuatkan beliau sangat beremosi sehingga memuat naik status berkenaan di FB.

Terdahulu, dia memberitahu telah diarahkan untuk membantu doktor bagi memasang ECMO (Extracorporeal Membrane Oxygenation) pada Muhammad Adib, pada 28 Nov tahun lalu.

Sementara itu, Ketua ICU IJN, Datuk Dr Suneta Sulaiman berpendapat Siti Syafika Amira tidak mempunyai kepakaran untuk memberikan kenyataan berhubung kecederaan pada mangsa.

Prosiding inkues di hadapan Koroner Rofiah Mohamad bersambung pada Khamis. - Bernama

Muhammad Adib, Cik Miera, IJN

Artikel Lain