suria

666 calon STPM peroleh 4.0 PNGK

Sebahagaian pelajar Kolej Tingkatan Enam SMK Datuk Pengiran Galpam menunjukkan pencapaian keputusan mereka dalam Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) 2018 yang diumumkan keputusannya pada Isnin.

PENCAPAIAN Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) pada 2018 meningkat sebanyak Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) 2.80 berbanding PNGK 2.76 pada 2017, kata Pengerusi Majlis Peperiksaan Malaysia Prof Datuk Dr Zul Azhar Zahid Jamal.

Beliau berkata ini menunjukkan peningkatan nasional yang memberangsangkan dalam kesemua kriteria pengukuran pencapaian itu jika dibandingkan pada tahun sebelumnya.

“Seramai 666 calon STPM 2018 memperoleh PNGK 4.00, naik sebanyak 0.42 peratus berbanding 485 calon pada 2017.

“Lebih menggembirakan 489 calon daripada 666 yang mendapat PNGK keseluruhan 4.00 atau 73.42 peratus adalah daripada golongan B40," katanya ketika mengumumkan analisis keputusan itu di Seri Kembangan, Isnin.

Katanya, bilangan dan peratusan calon yang mendapat PNGK 3.50 ke atas juga mencatatkan pertambahan iaitu 7,129 (16.63 peratus) pada tahun 2018 berbanding 6,408 calon (14.89 peratus) pada 2017.

Zul Azhar berkata, bilangan dan peratusan calon yang mendapat 5A dan 4A juga meningkat iaitu daripada 521 calon pada STPM 2017 kepada 673 calon dalam peperiksaan tahun 2018.

“Bilangan ini melebihi calon yang mendapat PNGK 4.00 iaitu 666 calon kerana terdapat tujuh calon yang tidak mendapat A dalam subjek Pengajian Am,” katanya.

Katanya, secara keseluruhan kesemua 22 mata pelajaran yang ditawarkan dalam peperiksaan STPM 2018 mencatatkan peratusan lulus penuh melebihi 70 peratus, iaitu gred C dan ke atas.

“Tiga subjek iaitu Biologi, Fizik dan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) menunjukkan peningkatan dalam prestasi lulus penuh iaitu lebih tiga peratus berbanding STPM 2017,” katanya.

Antara pelatih Rumah Cacat Penglihatan St. Nicholas  yang cemerlang dalam SPM dan STPM di Jalan Bagan Jermal, George Town, Isnin.

Dalam pada itu, Zul Azhar berkata MPM telah memilih 20 pelajar terbaik mengikut kategori untuk diberikan anugerah.

Terdapat tiga pelajar istimewa terbaik dan seorang pelajar terbaik yang menghidap sakit kritikal turut diberikan penghargaan dan ganjaran khas.

“Buat julung kalinya juga MPM memberi anugerah kepada lima pelajar terbaik kategori B40. MPM turut meneruskan pemberian anugerah kepada seorang pelajar Orang Asli,” katanya.-- Bernama




STPM, Zul Azhar

Artikel Lain