suria

16 rakyat Malaysia ditahan di Palembang tiba di tanah air

Muhammad Shahrul Ikram menyambut kepulangan Chris bersama 11 lagi rakyat Malaysia yang ditahan di Palembang Indonesia sejurus tiba di KLIA, Ahad. Foto Bernama

ENAM belas rakyat Malaysia yang ditahan oleh Jabatan Imigresen Indonesia selama dua bulan di Palembang bagi membantu siasatan berhubung penyalahgunaan visa, selamat tiba di tanah air pada Ahad.

Ketibaan sukarelawan dari agensi Chris Leong Method (CLM) diketuai pakar tulang kaedah perubatan terapi Cina, Tit Tar Datuk Chris Leong itu disambut Ketua Setiausaha Kementerian Luar Negeri, Datuk Seri Muhammad Shahrul Ikram Yaacob.

Bercakap kepada pemberita, Chris atau nama sebenarnya Leong Kong Yan, 43, mengakui kes itu merupakan satu peringatan buat dirinya yang boleh dijadikan pengajaran oleh mana-mana individu yang ingin ke luar negara.

Walaupun kes yang dilaluinya lebih kepada salah faham berhubung penggunaan visa, Chris mengakui soal pematuhan terhadap dokumen perjalanan adalah amat penting.

“Kami ke Palembang  untuk menjalankan kerja-kerja kebajikan dan bukannya menjalankan aktiviti perniagaan.

“Kes ini telah ditutup kerana siasatan pihak berkuasa Indonesia mendapati kami telah melakukan banyak kerja kebajikan sebelum ini,” katanya sejurus tiba dari Palembang di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang, Selangor.

Akhbar sebelum ini melaporkan pakar tulang itu ditahan oleh Jabatan Imigresen Indonesia pada 9 Januari lepas bersama 19 sukarelawan CLM dalam satu serbuan di sebuah hotel bertaraf empat bintang di Palembang.

Selain 16 rakyat Malaysia, mereka yang ditahan ialah tiga warga Hong Kong dan seorang warga Belgium.

Sementara itu, Muhammad Shahrul Ikram berkata, kes itu perlu dijadikan pengajaran oleh rakyat Malaysia agar sentiasa menghormati undang-undang negara lain.

Beliau berkata, setiap warga Malaysia perlu sedar bahawa menggunakan visa pelancong untuk melakukan aktiviti yang bersifat perniagaan adalah dilarang dan dalam kes ini, pihak berkuasa Indonesia amat tegas mengenainya.

“Mungkin Chris Leong anggap apa yang mereka lakukan adalah kebajikan sedangkan di pihak Indonesia, visa selaku pelancong tidak boleh digunakan untuk tujuan lain.

“Kita mungkin ingat apa yang kita buat adalah kebajikan bukan berniaga tetapi bagi pihak keselamatan di sana, itu adalah perniagaan,” katanya.

Beliau bagaimanapun berterima kasih kepada kerajaan Indonesia kerana memberi kerjasama sepenuhnya sepanjang proses membawa pulang warga Malaysia itu.

Muhammad Shahrul Ikram berkata selepas disiasat selama dua bulan dan atas rayuan yang dibuat Wisma Putra, kesemua mereka dibebaskan setelah pihak berkuasa Indonesia memutuskan tidak meneruskan kes itu ke mahkamah. - Bernama

visa, KLIA, Palembang

Artikel Lain