suria

Fenomena ‘bossku’ bantu kemenangan BN, Najib kata “Tidak dirancang, tapi terbit dari hati nurani rakyat”

Najib (kanan) bergambar bersama pemenang kerusi DUN Semenyih, Zakaria (tengah) dan Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Mohamad Hassan.

BEKAS Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengakui fenomena 'bossku' membantu kemenangan Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih.

Najib berkata, fenomena itu terjadi secara organik.

"Ia tidak dirancang serta bukan pengarahan yang kita lakukan, tetapi ia terbit dari hati nurani rakyat khususnya generasi muda.

"Ini merupakan satu simbol bahawa hasrat orang muda yang ingin perjuangkan, apa yang dekat di hati mereka, kita anggap ia satu kepentingan," katanya.

Malah kata Najib, rakyat tidak mahu tahu kenapa Pakatan Harapan (PH) selalu 'menyerangnya'.

"Rakyat mahu tahu bagaimana mereka hendak tunaikan janji pilihan raya," katanya.

Najib turut bersyukur atas kemenangan calon BN, Zakaria Hanafi pada PRK DUN Semenyih yang diumumkan keputusannya, Sabtu malam.

"Ada beberapa sebab kemenangan ini antaranya kepercayaan rakyat berdasarkan apa yang dinyatakan oleh BN.

"Walaupun kita bukan merupakan kerajaan negeri dan Persekutuan, tetapi kita mempunyai agenda memperjuangkan kepentingan rakyat," katanya.

Najib dalam pada itu turut mengucapkan terima kasih kepada pengundi DUN Semenyih.

"Ada peralihan, sebelum ini sebahagian daripada mereka sebelum ini mengundi PH, sudah tentu ramai yang menyokong BN pada hari ini," katanya.

Najib berkata, kerjasama mantap UMNO dan Pas turut membantu kemenangan BN pada PRK DUN Semenyih.

"Jentera UMNO, Pas, MIC, MCA dan badan bukan kerajaan turut membantu kemenangan," katanya. - Sinar Harian

bossku, Najib Razak, PRK Semenyih

Artikel Lain