suria

Walaupun menang anugerah, wartawan kecewa tindakan Najib tinggalkan wawancara

Marry Ann semasa menemu bual Najib.

WARTAWAN Mary Ann Jolley yang memenangi anugerah berprestij UK untuk temubual bertajuk Malaysia: Najib Speaks, mengakui pada Jumaat bahawa dia kecewa ketika menyoal bekas predana menteri itu semasa wawancara Al Jazeera, Oktober lalu.

"Beliau nampaknya tidak mempunyai jawapan kepada soalan yang saya bangkitkan," kata Jolley semasa wawancara eksklusif bersama The Star TV.

"Ini adalah perkara yang terperinci sepenuhnya dalam laporan Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (AS).

"Saya merasakan seolah-olah banyak masa, bekas perdana menteri itu mencadangkan bahawa dia tidak tahu tentang perkara tersebut dan menyalahkan orang lain, bukan menyalahkan dirinya sendiri.

"Saya menjangkakan dia mempunyai jawapan lebih terperinci.

Datuk Seri Najib Tun Razak ditanya mengenai pelbagai perkara seperti 'berlian merah jambu' dan 1MDB, dilihat gagal mengawal emosinya semasa temubual itu yang menyaksikannya bertindak meninggalkan wawancara tersebut.

"Saya mahu beliau terus duduk," kata Jolley.

"Sudah tentu dia mahu bercakap tentang ekonomi, yang baik-baik sahaja, tetapi kami tidak boleh ke situ sehingga kami menjawab soalan lain.

Video berdurasi 25 minit itu menjadi tular di media sosial dan mendapat lebih 1 juta tontonan di YouTube dan memenangi anugerah 'Wawancara Terbaik' pada Anugerah Royal Television Society Television 2019.

Ditanya jika dia akan menemubual bekas perdana menteri itu semula pada masa terdekat, Jolley berkata dia akan berbuat demikian jika timbul keperluan itu.

Jolley turut meluahkan hasrat untuk menemubual isteri Najib, Datin Seri Rosmah Mansor.

"Kami fikir ia benar-benar penting untuk bercakap dengan beliau," katanya.

"Orang di Malaysia percaya dia memainkan peranan penting sebagai isteri (bekas) perdana menteri, jadi kami pasti suka (menemu bual)mereka (Najib dan Rosmah).

Artikel Lain