Sumpah Quran di live FB, ustaz nasihat bakal ibu jangan terpedaya dengan doula! - Semasa | mStar

Sumpah Quran di live FB, ustaz nasihat bakal ibu jangan terpedaya dengan doula!

SELEPAS diasak netizen untuk memberi penjelasan berhubung kenyataan yang mengelirukan semasa program bual bicara stesen televisyen tempatan minggu lalu, doula bebas Hayati Muzaffar akhirnya membuat penampilan secara live di Facebook miliknya petang Jumaat.

Menerusi siaran live tersebut, Hayati atau lebih dikenali sebagai Kak Yat tampil bersumpah bersaksikan al-Quran sebelum memberi penjelasan bagi membuktikan dia bercakap benar.

"Niat buat live FB untuk menjemput orang di luar sana bersama Kak Yat nak buat sumpah Quran. Kak Yat buat sesi perkongsian di wall peribadi Kak Yat nak bersumpah atas Quran (bahawa) perkongsian ini Kak Yat berkata yang benar.

ARTIKEL BERKAITAN: "Dia harus minta maaf" - Doktor pakar Indonesia malu dikait latih doula Malaysia

"Kak Yat doakan kebaikan keluar daripada perkongsian ini nak menjelaskan pelbagai isu setelah lebih seminggu program Analisis dah berlalu, jadi itulah niat Kak Yat sumpah Quran.

"Kak Yat ambil soalan dari WhatsApp dan Facebook. Kak Yat buat keputusan lepas (solat) istikarah ada dalam 13 atau 14 isu untuk dijawab," katanya.

Kak Yat (tengah) panel jemputan ke program Analisis, mewakili kumpulan doula di negara ini.

Susulan itu, mStar Online mendapatkan pandangan ahli Persatuan Ulama Sedunia, Ahmad Fauwaz Fadzil Noor mengenai tindakan tersebut.

Ahmad Fauwaz bagaimanapun tidak bersetuju dengan perbuatan tersebut dan menyifatkan ia kurang sesuai untuk dilakukan.

"Dia tidak sepatutnya menggunakan (al) Quran untuk bersumpah. Sumpah hanya diguna pakai di mahkamah sahaja.

"Tindakan dia tidak begitu sesuai sebab kita ada ilmu. Kembali kepada ilmu yang akan menentukan," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Melampau! Siap cakap saya nak makan McD hari-hari" - Bekas klien dedah sikap doula kontroversi, kecewa dihina

Malah beliau turut kecewa apabila golongan doula di negara ini menggunakan al-Quran untuk mempengaruhi orang ramai supaya menggunakan khidmat mereka.

"Mereka tak boleh jadikan al-Quran sebagai kitab sains. Doa... doa tapi (ilmu) perubatan diserahkan kepada yang pakar.

"Maksudnya ibu yang mahu bersalin perlu jumpa doktor iaitu orang yang diberi pengiktirafan ilmu tersebut," katanya.

Ahmad Fauwaz Fadzil Noor. Foto FB Ustaz Fauwaz Fadzil.

Justeru, Ahmad Fauwaz turut menasihati orang ramai terutamanya bakal ibu supaya tidak terpedaya dengan pengaruh doula.

"Doula kita tak tahu apa sandaran dia kerana dia tak ada ilmu (perubatan). Jadi jangan terpengaruh.

ARTIKEL BERKAITAN: Bahaya! Kursus doula tak diiktiraf, bayi dan ibu terdedah risiko jangkitan kuman, tumpah darah

"Saya nasihatkan semua supaya kembali kepada ilmu yang menentukan. Setiap bidang apa pakar masing-masing. Bagi kes ini, kembali kepada ahli perubatan," katanya.

Ditanya seandainya doula tersebut menipu selepas sumpah tersebut dilakukan, Ahmad Fauwaz berkata dia perlu membayar kafarah (sumpah).

"(Jika berkata tidak benar) Maka dia perlu membayar kafarah (melanggar) sumpah untuk membantu orang miskin," katanya.

doula , Kak Yat , Quran

Artikel Lain

Luiz dedah punca pindah ke Arsenal