Polis buru pengasuh dera bayi - Semasa | mStar

Polis buru pengasuh dera bayi

Gambar hiasan.

POLIS Seberang Perai Utara (SPU) sedang mengesan seorang wanita berumur 22 tahun susulan satu laporan yang mendakwa dia mendera seorang bayi perempuan yang diasuhnya sehingga lebam di bahagian belakang badan.

Ketua Polis SPU, ACP Noorzainy Mohd Noor hari ini berkata wanita itu melarikan diri selepas ibu kepada bayi berumur setahun lapan bulan itu membuat laporan polis mengatakan anaknya didera di rumah suspek di Pangsapuri Ampang Jajar, Mak Mandin dekat sini Sabtu lepas.

“Ibu bayi itu telah membawa anaknya ke Hospital Kepala Batas setelah muntah-muntah selain kesan lebam dikesan pada bahagian belakang badannya.

"Doktor yang merawat mangsa mengesyaki bayi berkenaan didera dan menasihati ibu bayi itu membuat laporan polis,” katanya di Butterworth.

Noorzainy berkata ibu bayi itu cuba menghubungi wanita berkenaan namun gagal.

Wanita itu turut mengasuh kakak bayi itu yang berumur tiga tahun.

Polis percaya suspek melarikan diri bersama-sama suami dan anak perempuannya yang berumur lima tahun dan dia kini dikehendaki untuk siasatan di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 kerana mendera dan boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak lebih 20 tahun atau kedua-duanya sekali, jika disabitkan kesalahan. - BERNAMA

pengasuh , dera , bayi

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain