suria

Cradle Fund: Kertas siasatan hasil bedah siasat kedua diserah DPP - Fuzi

Nazrin Hassan.

POLIS telah menyerahkan laporan siasatan hasil bedah siasat kedua bekas Ketua Pegawai Eksekutif Cradle Fund Sdn Bhd, Allahyarham Nazrin Hassan kepada Timbalan Pendakwa Raya pada 22 Februari lepas.

Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata setakat ini, tiada sebarang keperluan untuk membuat tangkapan terbaharu.

"Pihak polis Selangor telah kemukakan kertas siasatan ini termasuk hasil laporan bedah siasat kali kedua.

"Apa kandungan penuh dalam laporan itu saya tak tengok lagi dan setakat ini tidak ada tangkapan terbaharu," katanya kepada pemberita selepas majlis peringatan ulang tahun Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) ke-63 dan penganugerahan pingat Jasa Pahlawan Negara di Kuala Lumpur pada Selasa.

Sebelum ini, Mahkamah Majistret Petaling Jaya pada 1 Oktober 2018 membenarkan permohonan polis untuk menggali semula kubur Allahyarham Nazrin bagi membolehkan bedah siasat kali kedua dijalankan untuk membantu siasatan polis berhubung kematiannya itu.

Pada 3 Ogos tahun lepas, kematian Nazrin diklasifikasi sebagai kes bunuh di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan selepas siasatan bomba menemukan kesan petrol di lokasi kebakaran.

Nazrin maut dalam kebakaran di rumahnya di Mutiara Homes, Petaling Jaya, pada 14 Jun tahun lepas yang pada mulanya dilaporkan sebagai berpunca daripada letupan telefon bimbitnya. - BERNAMA

Cradle Fund, Nazrin Hassan

Artikel Berikut

Artikel Lain