suria

Saintis wanita ketuai pelayaran Ekspedisi Saintifik UMT sempena LIMA 2019

Dr Roswati Md Amin.

UNIVERSITI Malaysia Terengganu (UMT) terus mengiktiraf peranan saintis wanita dalam bidang kelautan dengan menampilkan Pengerusi Program Biologi Marin, Pusat Pengajian Sains Marin dan Sekitaran UMT, Dr Roswati Md Amin sebagai Ketua Pelayar bagi Ekspedisi Saintifik UMT ke Pameran Aeroangkasa dan Maritim Antarabangsa Langkawi 2019 (LIMA 2019).

Roswati akan mengetuai pelayaran menggunakan kapal penyelidikan UMT, RV Discovery mengelilingi Semenanjung Malaysia menerusi dua laluan maritim, Laut China Selatan dan Selat Melaka selama 20 hari bersama 25 saintis lapangan dan makmal, termasuk lima daripadanya saintis wanita.

Beliau berkata, pelayaran yang bermula 13 Mac hingga 23 Mac itu akan melalui lebih 45 lokasi kajian sepanjang dua laluan maritim berkenaan bagi melakukan kajian berkaitan sains marin dan  perubahan iklim di negara ini.

“Fokus kajian saya dan pasukan adalah bagi mengkaji kesan pencemaran alam sekitar dan perubahan iklim terhadap hidupan marin dan mengkaji terumbu karang serta ikan karang di lokasi-lokasi yang telah ditetapkan termasuk lokasi utama di Pulau Perak, Kedah.

“Dari situ, kami akan ambil sampel bagi mengkaji sama ada hidupan marin di situ seperti phythoplankton (tumbuhan) dan zooplankton (haiwan) tercemar atau tidak, (ini kerana) kesan pencemaran itu memberi impak kepada masyarakat kerana ikan yang menjadi sumber protein rakyat negara ini menjadikan kedua-dua organisme tersebut sebagai sumber makanannya,” katanya kepada Bernama dalam satu temu bual eksklusif, di Kuala Nerus, Terengganu.

Beliau berkata, Pulau Perak dipilih sebagai lokasi kajian utama berdasarkan bentuk fizikal pulau itu yang terbentuk daripada batuan metamorf berusia ratusan juta tahun dan tebing curam berketinggian lebih 100 meter yang para pengkaji boleh melihat terumbu karang sehingga 40 meter ke dasar laut kerana kejernihan airnya.

Mengulas cabaran yang bakal digalas sebagai ketua pelayaran wanita buat pertama kali dalam hidupnya, Roswati menyifatkan ia satu pengiktirafan kepada penglibatan golongan wanita sebagai penyelidik yang sebelum ini kejayaan mereka jarang didedahkan kepada umum seperti kenyataan yang dikeluarkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Justeru, katanya, meskipun kini beliau mengandung lima bulan, tugas itu akan digalas dengan penuh tanggungjawab serta penghormatan terhadap UMT dan cuba melakukan yang terbaik menerusi pengalaman beliau sebagai saintis yang sering bertugas di lapangan sebelum ini.

“Kebiasaan kalau melibatkan pelayaran di laut, berhadapan dengan cuaca yang tidak menentu adalah rintangan utama, namun saya positif, dengan bantuan serta kerjasama yang diberikan oleh pasukan penyelidik dan juga kru kapal, misi ini dapat disempurnakan dengan jayanya, insya-Allah.

“Harapan saya daripada kajian ini juga dapat memberi impak dan membuka mata masyarakat kepentingan ekosistem marin kepada kehidupan seharian kita dan mahu mereka bertindak balas terhadap pengetahuan yang mereka dapat daripada kajian UMT ini,” katanya.

Urusetia ekspedisi berkenaan, Dr Hasrizal Shaari berkata, ekspedisi itu merupakan pelayaran dan penyertaan kedua UMT dalam pameran berprestij yang berpangkalan di Langkawi, Kedah, selepas penyertaan pertama pada 2015.

“Pelayaran RV Discovery itu nanti juga akan berhenti di Gelang Patah, Johor, iaitu kami akan mengadakan projek bersama komuniti di sekolah-sekolah sekitar Johor Bahru bagi mempromosi UMT sebagai antara universiti yang mempelopori bidang sains marin di negara ini dan satu-satunya yang mempunyai kapal penyelidik (RV Discovery).

“Ia sekali gus memudahkan masyarakat memahami apa yang kami tawarkan di universiti kami terutama dalam bidang maritim dan marin yang masih lagi kurang mendapat pendedahan kalangan masyarakat tempatan.

“Kami juga akan melancarkan program 3u1i iaitu program tiga tahun di universiti dan setahun dalam industri yang melibatkan kolaborasi antara pihak universiti dan industri sebagai usaha meluaskan skop pekerjaan graduan dan meningkatkan kebolehpasaran graduan UMT dalam alam pekerjaan kelak,” katanya.

Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin dijangka berkenan melakukan pelepasan ekspedisi tersebut di jeti Duyung Marina, Kuala Nerus pada 13 Mac ini.

Pelayaran itu dijangka berakhir di Pulau Langkawi pada 23 Mac, seterusnya kapal RV Discovery akan terlibat dalam pameran LIMA 2019 yang berlangsung dari 26 hingga 30 Mac depan. - Bernama

LIMA, UMT, Dr Roswati Md Amin

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain