"Saya dengar orang ramai cakap jangan pukul" - Saksi - Semasa | mStar

"Saya dengar orang ramai cakap jangan pukul" - Saksi

SEORANG saksi awam memberitahu Mahkamah Koroner hari ini bahawa beliau mendengar jeritan daripada beberapa orang menjerit “jangan pukul”  anggota bomba itu ketika insiden kekecohan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya, 27 November tahun lepas.

S.Sures, 33, seorang kontraktor berkata beliau mendengar jeritan itu ketika anggota bomba tersebut berada dalam keadaan bersandar di bampar sebuah kereta.

"Saya nampak ada orang sandar dekat bampar kereta dan keadaan masa itu gelap. Masa itu orang masih berkumpul dan saya masih dengar jeritan jangan pukul," katanya ketika menjawab  pertanyaan pegawai pengendali  inkues Zhafran Rahim Hamzah.

Sures berkata beliau yang berada di lokasi ketika kejadian selepas itu ditolak oleh orang tidak dikenali, lalu terjatuh ke atas seorang anggota bomba berkenaan yang dikenal pasti kemudian sebagai Muhammad Adib Mohd Kassim.

"Saya jatuh ke atas kaki dia. Lepas itu saya sedar dia anggota bomba sebab pakaian," kata saksi kelapan itu pada hari kelima prosiding inkues bagi menyiasat punca kematian anggota bomba Muhammad Adib.

Saksi itu juga turut melakonkan semula posisi dia terjatuh ke atas anggota bomba berkenaan selepas diminta berbuat demikian oleh peguam Syazlin Mansor yang mewakili Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Jabatan Bomba serta keluarga mangsa.

Menceritakan posisi sebenar selepas terjatuh ke atas kaki anggota bomba itu, beliau berkata tangan kanannya berada di atas jalan manakala tangan kirinya berpegang pada bampar kereta berkenaan.

"Ketika itu ada orang tendang bahu kanan saya. Kemudian datang seorang lelaki berbadan besar untuk luaskan ruang tersebut," katanya.

Menjawab pertanyaan peguam Kamaruzaman Abdul Wahab mewakili keluarga Muhammad Adib, saksi itu  berkata beliau  terjatuh setelah ditolak dari belakang.

Kamaruzaman: Kamu kata, kamu ditolak dari belakang dan masa terjatuh (ke depan anggota bomba), (akibat) ditendang?

Sures:Ya Kamaruzaman: Perasan tak siapa tendang kamu? Suresh: Tak nampak.

Kamaruzaman: Tendang sekali saja?

Sures: Ya Kamaruzaman: Ada sesiapa dalam ‘crowd' beritahu mangsa dilanggar?

Sures: Tak ada

Menjawab soalan Zhafran, Sures berkata, beliau mengandaikan anggota bomba dipukul pada insiden itu kerana dia terdengar perbualan sekumpulan orang awam yang mengatakan anggota bomba berkenaan dipukul lalu berkongsi perkara itu dengan rakannya R.Narresh yang berada berhampiran lokasi kejadian.

Zhafran: Kenapa kamu cakap (kepada Narresh) ada anggota bomba kena pukul?

Sures: Saya dengar ada orang cakap, ‘jangan pukul, jangan pukul'.

Selain itu beliau berkata semasa sekumpulan individu mengusung keluar anggota bomba itu, beliau terdengar bunyi '‘anggota bomba pun nak pukul ke”.

Katanya selepas insiden itu, beliau bersama rakan-rakannya  terus ke sebuah hospital di Subang Jaya di mana anggota bomba itu menerima rawatan.

Prosiding di hadapan Koroner Rofiah Mohamad bersambung Isnin ini.-Bernama

Inkues Adiq

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain