suria

Ahli Parlimen Julau, keluarga tahanan ke Kemboja Rabu ini

Sebahagian daripada 47 rakyat Malaysia yang ditahan pihak berkuasa Kemboja sejak 16 Disember lalu, dipercayai ditipu sindiket pemerdagangan manusia. Foto Bernama

AHLI Parlimen Julau, Larry Sng Wei Shien dijadual berlepas ke Kemboja pada Rabu ini bersama delegasi media serta ahli keluarga tahanan rakyat Malaysia di negara itu bagi meninjau situasi sebenar dan melihat keadaan mereka di sana.

Larry Sng dalam kenyataannya pada Ahad berkata, pejabat Kedutaan Malaysia di Kemboja telah berjaya mengatur lawatan delegasi tersebut ke penjara Banteay Meanchey.

“Saya baru sahaja dimaklumkan bahawa pihak AirAsia juga akan turut serta dalam Misi Menyelamat serta membawa pulang tahanan rakyat Malaysia dengan membiayai kos membawa pulang ke tanah air.

“Saya berasa amat berbangga kerana banyak pihak yang tampil menghulurkan pelbagai bentuk  bantuan tanpa mengira latar belakang kaum, agama mahupun fahaman politik,” katanya.

Pada Khamis lalu, Kementerian Luar mengesahkan laporan penahanan 47 rakyat Malaysia di Poi Pet, Kemboja sejak 11 Disember lalu atas pertuduhan menipu, membuka dan menjalankan aktiviti perjudian dalam talian secara haram.

Mereka dikatakan ditahan di negara tersebut setelah terpesona dengan janji gaji lumayan yang dipercayai didalangi sindiket pemerdagangan manusia dari China.

Sebahagian besar rakyat Malaysia yang ditahan itu dikatakan berasal dari Sarawak. - Bernama

Kemboja, Larry Sng Wei Shien

Artikel Lain