suria

Bayi masih bertali pusat ditemui di sebuah surau

SEORANG bayi lelaki yang masih bertali pusat ditemui di dalam kotak di hadapan Surau Nur Iman, Kampung Pinang Seberang, Kamunting dekat sini petang Sabtu.

Pemangku Ketua Polis Daerah Taiping Supt Razlam Ab Hamid berkata bayi yang hanya dibalutkan dengan kain itu ditemukan oleh seorang anggota polis yang sedang melakukan rondaan di sekitar kawasan itu pada pukul 4.20 petang.

“Bayi lelaki itu dijumpai oleh seorang anggota polis berpangkat Lans Koperal sebelum memaklumkannya kepada anggota polis di Balai Kamunting,” katanya dalam kenyataan.

Menurutnya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan.

Sementara itu di Kerian, seorang lelaki tempatan ditemukan mati tertiarap di tepi longkang sebuah kedai di Taman Bangan Serai petang ini.

Ketua Polis Daerah Kerian Supt Omar Bakhtiar Yaacob berkata lelaki yang dikenali sebagai M. Muthi, 49, dari Kampung Keramat, Bagan Serai ditemukan oleh orang awam yang memaklumkannya kepada polis pada pukul 2.49 petang.

Katanya mayat dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Parit Buntar untuk bedah siasat dan setakat ini, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.- Bernama

Buang bayi

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Feri tak lebih muatan

Artikel Lain