Aliran trafik sesak gara-gara treler terbakar dalam terowong - Semasa | mStar

Aliran trafik sesak gara-gara treler terbakar dalam terowong

ALIRAN trafik menuju ke pantai timur dilaporkan sesak sepanjang 11 kilometer berikutan insiden treler terbakar dalam Terowong Genting Sempah awal pagi Jumaat.

Jurucakap Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) berkata insiden yang berlaku pada 1.37 pagi itu, menyebabkan laluan kontra dibuka di KM38.2 hingga KM36.9 arah barat sebelum Terowong Genting Sempah bermula pada 8.24 pagi sehingga 9.06 pagi untuk kerja-kerja mengalihkan treler itu.

Kerja-kerja mengalihkan treler itu telah selesai dan laluan di dalam terowong itu telah dibuka pada 9.06 pagi namun trafik masih sesak.

"Pemandu treler itu tidak mengalami sebarang kecederaan dan treler itu hanya terbakar di bahagian depan," katanya ketika dihubungi Bernama.

Sementara itu, Jurucakap PLUS Malaysia Berhad berkata setakat ini aliran trafik begerak perlahan dari Tapah ke Gopeng.

Orang ramai boleh mendapatkan maklumat trafik terkini menerusi talian bebas tol Plusline di 1800-88-0000 dan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) di talian 1800-88-7752 atau merujuk laman Twitter di www.twitter.com/plustrafik dan www.twitter.com/llminfotrafik.- BERNAMA

Treler , PLUS Malaysia Berhad

Artikel Lain

Mayat Nora Anne sudah dituntut