suria

Norwahidah teruja mahu berbusana pengantin warna merah pulasan

Norwahidah Abdul Hamid.

ALLAHYARHAM Norwahidah Abdul Hamid yang terbunuh dalam kebakaran bersama pasangannya dalam kejadian di Sepang Isnin lepas, begitu teruja mahu mengenakan busana berwarna merah pulasan pada majlis perkahwinannya yang dijadualkan Sabtu ini.

Norwahidah, 28, menempah persalinan itu di sebuah butik pengantin di Kodiang Disember lepas untuk hari bersejarahnya itu.

Menurut rakan rapatnya yang hanya mahu dikenali sebagai Cik Zah, kali terakhir beliau berjumpa Norwahidah pada Hari Raya Aidilfitri tahun lepas di kediaman mangsa di Taman Bukit Kayangan, di sini.

"Saya yang menyusun atur persiapan majlis kenduri bagi pihak mangsa dan kami juga kerap berhubung melalui telefon untuk susun atur resepsi perkahwinannya," kata Cik Zah kepada Bernama di Kangar, Perlis pada Rabu.

Menurut Cik Zah persiapan rapi telah dibuat dan kad jemputan juga sudah diedarkan oleh anggota keluarga mangsa yang merupakan anak sulung daripada empat beradik.

"Saya dukacita dengan kematian Norwahidah," kata Cik Zah yang menyifatkan arwah sangat baik, cantik dan menghormati orang tua selain rajin bekerja.

Pasangan Norwahidah dan Wan Mohd Baharul Nizam Wan Bakar, 35, terbunuh dalam kebakaran sebuah rumah di Taman Desa Vista, Sepang, dua hari lepas.

Polis mengklasifikasikan semula kematian mereka sebagai kes bunuh.

Seorang jiran keluarga mangsa, Rohani Shafie, 66, yang telah 10 tahun menetap di taman perumahan itu berkata, kali terakhir beliau melihat Norwahidah pada Disember tahun lepas di sebuah majlis perkahwinan di sini.

Katanya Norwahidah kelihatan ceria dan sangat peramah melayani rakan-rakannya pada majlis itu.

Jenazah Norwahidah selamat dikebumikan di perkampungan keluarga sebelah ibunya di Tanah Perkuburan Islam Masjid Ayer Hitam, Kedah kira-kira 9 pagi Rabu manakala Wan Mohd Baharul Nizam di Besut, Terengganu. - BERNAMA

Norwahidah, pengantin

Artikel Sebelum

Pahang cuti peristiwa esok

Artikel Berikut

Artikel Lain