suria

Anak Maria Chin Abdullah ditikam

-foto Malaysiakini

ANAK lelaki kepada Anggota Parlimen Petaling Jaya, Maria Chin Abdullah cedera ditikam seorang lelaki dalam cubaan samun di sebuah taman berhampiran kawasan perumahan Taman Mayang Emas, Petaling Jaya Ahad.

Timbalan Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Supt Ku Mashariman Ku Mahmood berkata mangsa berusia 26 tahun itu ditikam di bahagian kanan perutnya ketika sedang berjoging di kawasan itu pada kira-kira 6 petang.

"Mangsa dibawa ke Pusat Perubatan Universiti Malaya untuk rawatan dan dilaporkan stabil," katanya dalam kenyataan kepada media tanpa menyebut nama mangsa.

Ku Mashariman berkata kes disiasat mengikut Seksyen 393 Kanun Keseksaan kerana cubaan samun.

Sementara itu, Maria ketika dihubungi Bernama berkata anaknya kini stabil dan dalam kedaaan sedar.

"Saya telah bercakap dengannya dan mungkin dia perlu jalani pembedahan… kami (anggota keluarga) masih menunggu nasihat doktor," katanya.

Maria Chin Abdullah, anak, tikam

Artikel Lain