suria

Teruja! Legoland Malaysia lancar tarikan filem 4D pertama dunia

Pengalaman filem 4D merupakan tarikan terbaharu di Legoland Resort Malaysia.

RASA teruja dan penuh keseronokan bakal dirasai anda sepanjang menonton filem di taman tema Legoland pertama di Asia, Legoland Malaysia Resort.

Tarikan terbaharu iaitu pengalaman filem Lego berkonsepkan empat dimensi (4D) menerusi Lego City 4D Movie - Officer in Pursuit, boleh dinikmati seisi keluarga bermula 24 Januari 2019.

Membuka tirai 2019, Legoland Malaysia menjadi Legoland pertama di dunia melancarkan tarikan filem 4D bagi judul berkenaan.

Pengurus Besar Legoland Resort Malaysia, Kurt Stocks berkata, dengan pengenalan tarikan baharu itu sekali gus menjadi aktiviti utama taman tema tersebut pada tahun ini.

"Peminat Lego dapat menyaksikan pasukan polis Lego City mengejar penjenayah di jalanan dan bangunan pencakar langit di bandaraya itu.

"Perspektif 4D ini bukan sahaja membuatkan orang ramai menyaksikan filem 3D (tiga dimensi) tetapi juga merasai pengalaman sebenar dengan kepulan asap, percikan air dan angin kuat," katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran tarikan terbaharu itu di Legoland Resort Malaysia di Iskandar Puteri, Johor pada Khamis.

Kurt Stocks (belakang, tengah) pada majlis pelancaran ego 4D Movie - Officer in Pursuit.

Kurt berkata, filem 4D itu juga menjadi permulaan kepada tarikan baharu mengenai hidupan laut iaitu Sea Life Malaysia yang akan dilancarkan pada April ini.

"Kami juga melancarkan struktur harga baharu bagi memanfaatkan pasaran tempatan di mana bagi warga Malaysia, sekiranya membeli tiket untuk sehari, mereka dapat menikmatinya sepanjang tahun. 

"Kami juga memperkenalkan pas tahunan bagi membolehkan pengunjung menikmati keseluruhan resort iaitu Taman Tema Legoland, Taman Air dan juga Sea Life dengan harga diskaun. Inisiatif ini bagi membolehkan warga tempatan merasai pengalaman di Legoland secara maksimum," tambahnya.

Legoland juga menganjurkan Hari Acara Filem Lego atau Lego Movie Event Days bermula 24 Januari sehingga 31 Mac 2019, sempena filem terbaharu Lego Movie 2: The Second Part yang bakal ditayangkan di pawagam tidak lama lagi.

Pemegang MyKad boleh menikmati harga promosi dengan pas tahunan baharu iaitu RM239 untuk dewasa dan RM190 bagi kanak-kanak berusia antara tiga dan 11 tahun untuk akses tanpa had ke Taman Tema Legoland, Taman Tema Air dan Sea Life Malaysia sepanjang tahun.

Pas tahunan yang baharu boleh didapati menerusi pembelian di laman web rasmi Legoland, http://www.legoland.com.my bagi tempoh yang terhad.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain