Kes bunuh Jong-nam: Pendakwaan diperintah serah rakaman percakapan saksi kepada pembelaan - Semasa | mStar

Kes bunuh Jong-nam: Pendakwaan diperintah serah rakaman percakapan saksi kepada pembelaan

Jong-nam maut dipercayai dibunuh dengan menggunakan agen saraf VX, ketika berada di klia2 untuk penerbangan ke Macau.

PENDAKWAAN kes pembunuhan Kim Chol atau Kim Jong-nam, abang pemimpin Korea Utara pada Khamis diperintahkan supaya mengemukakan salinan rakaman percakapan saksi kepada peguambela yang mewakili tertuduh warga Indonesia.

Keputusan berkenaan dibuat panel tiga hakim Mahkamah Rayuan diketuai Datuk Umi Kalthum Abdul Majid yang membenarkan rayuan oleh pihak pembelaan mewakili Siti Aisyah, 26, untuk meminta pendakwaan mengemukakan salinan rakaman percakapan saksi kepada mereka.

Semasa ditanya Hakim Umi Kalthum bila pendakwaaan akan mengemukakan salinan berkenaan kepada pihak pembelaan, Timbalan Pendakwa Raya Datuk Dusuki Ahmad menjawab mereka akan berbuat demikian dalam dua minggu.

Beliau bagaimanapun memohon penangguhan perintah berkenaan sementara menunggu rayuan pendakwaan terhadap perintah itu di Mahkamah Persekutuan.

“Pemohonan penangguhan perintah dibenarkan sementara menunggu kebenaran dan/atau rayuan ke Mahkamah Persekutuan,” kata Hakim Umi Kalthum yang bersidang bersama Hakim Datuk Harmindar Singh Dhaliwal dan Datuk Rhodzariah Bujang di Putrajaya.

Dusuki juga memohon prosiding di Mahkamah Tinggi yang dijadualkan pada 28 Januari ini ditangguhkan sehingga rayuan mereka di Mahkamah Persekutuan selesai.

Bagaimanapun Umi Kalthum mengarahkan pendakwaan membuat permohonan berkenaan di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi.

Terdahulu Hakim Umi Kalthum membenarkan rayuan pihak pembelaan untuk mengetepikan perintah Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 18 Disember 2018 yang menolak permohonan pembelaan yang meminta pendakwaan menyerahkan salinan rakaman percakapan saksi kepada mereka mengikut Seksyen 112 Kanun Tatacara Jenayah, yang dibuat tujuh saksi pendakwaan kepada polis.

Pihak pembelaan memfailkan permohonan berkenaan pada 7 November 2018.

Tujuh saksi tersebut ialah Ahmad Fuad Ramli, Lim Cheng Gam, Tomie Yoshio, Ng Wai Hoong, Dessy Meyrisinta, Raisa Rinda Salma dan Kamaruddin Masiod.

Peguambela Siti Aishah, Gooi Soon Seng sebelum itu dalam hujahannya berkata pembelaan tidak sepatutnya dipinggirkan daripada mendapatkan rakaman percakapan saksi memandangkan ia merupakan dokumen awam.

“Pihak pendakwaan perlu mengemukakan rakaman percakapan saksi kepada pembelaan bagi memastikan anak guamnya mendapat perbicaraan yang adil,” katanya.

Dalam hujah balasnya, Dusuki berkata rakaman percakapan itu merupakan dokumen hak istimewa pendakwaan dan bimbang akan berlaku gangguan saksi serta bukti jika dikemukakan kepada pembelaan.

“Sebagai contoh, maklumat yang boleh mewujudkan impak terhadap keselamatan negara dan kepentingan keadilan. Maklumat ini boleh digunakan oleh pembelaan untuk merosakkan nama baik pentadbiran keadilan dan polis," katanya dan menambah bahawa adalah menjadi pendirian pendakwaan untuk tidak memberikan kenyataan saksi kepada pembelaan kerana ia adalah soal dasar awam.

Hakim Harmindar berkata adalah juga menjadi dasar bagi pembelaan untuk mendapatkan perbicaraan yang adil dan memberitahu bahawa ketika beliau menjadi hakim yang mendengar perbicaraan, beliau akan mengarahkan pendakwaan membekalkan rakaman percakapan saksi kepada pembelaan setelah kes pendakwaan selesai.

Pada 16 Ogos 2018, Mahkamah Tinggi Shah Alam memerintahkan Siti Aisyah, dan seorang wanita warga Vietnam, Doan Thi Huong, 29, membela diri atas pertuduhan membunuh Kim Chol.

Kedua-dua mereka didakwa bersama empat lagi yang masih bebas membunuh Kim Chol, 45, di Balai Berlepas Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) pada jam 9 pagi, 13 Feb 2017.

Bagaimanapun, pembelaan mereka belum bermula kerana menunggu permohonan pembelaan untuk mendapatkan rakaman percakapan saksi daripada pendakwaan.

Kedua-dua mereka didakwa bersama empat lagi yang masih bebas membunuh Kim Chol, 45, di Balai Berlepas Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) pada 9 pagi, 13 Februari 2017.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.
- BERNAMA

Kim Jong-nam

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain