Dapur asrama disita, kontraktor sementara disediakan - KPM - Semasa | mStar

Dapur asrama disita, kontraktor sementara disediakan - KPM

KEMENTERIAN Pendidikan (KPM) menafikan dakwaan bahawa pelajar Sekolah Seri Puteri, Cyberjaya tidak akan disediakan makanan selama 14 hari sepanjang tempoh dapur asrama sekolah itu disita Kementerian Kesihatan seperti yang tular di media sosial.

KPM dalam kenyataan hari ini berkata Jabatan Pendidikan Selangor menyediakan kontraktor penyelamat (sementara) bagi menyediakan makanan kepada pelajar sekolah tersebut sepanjang tempoh dapur asrama disita bermula 10 Januari lepas.

"Demi kepentingan murid, kontraktor penyelamat disediakan selama 14 hari bagi membolehkan makanan kepada 850 orang murid di asrama sekolah berkenaan disediakan dengan mencukupi dan menepati masa hidangan yang ditetapkan," katanya menerusi kenyataan pada Isnin.

Mengenai tindakan Kementerian Kesihatan menyita dapur asrama sekolah itu atas alasan kebersihan, KPM berkata pihaknya sedang mempertimbangkan beberapa tindakan yang lebih tegas demi menjaga kebajikan murid.

Selain itu, katanya pengurusan sekolah telah diminta meningkatkan tahap pemantauan bagi memastikan kualiti makanan yang disediakan sentiasa terpelihara dan mematuhi standard ditetapkan KPM.

KPM berkata kerjasama penuh akan diberikan kepada Kementerian Kesihatan dalam memastikan kebersihan dapur asrama dan dewan makan sentiasa terjaga.

"Sekali lagi, KPM ingin menegaskan bahawa KPM tidak akan berkompromi dalam soal menjaga kualiti makanan yang disediakan kepada murid," katanya.

Menurut KPM, kontraktor bekalan makanan sekolah itu pernah diberikan amaran dan teguran oleh Bahagian Pengurusan Sekolah Berasrama Penuh dan Sekolah Kecemerlangan (BPSBPSK) sebelum ini.

Bagaimanapun, kontraktor terbabit tidak melaksanakan kerja-kerja pembersihan dan penambahbaikan secara keseluruhan walaupun mempunyai tempoh masa yang panjang semasa cuti akhir tahun yang lepas.-- Bernama

Sekolah Seri Puteri , Cyberjaya , KPM

Artikel Lain

Derita si janda muda