suria

Gejala ketagihan gam meruncing, RUU bahan khayal akan digubal

PUTRAJAYA: Rang Undang-undang mengenai bahan khayal akan digubal bagi menangani penyalahgunaan bahan seperti gam dan ubat-ubatan psikotropik dalam kalangan remaja, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Beliau berkata gejala ketagihan gam menjadi masalah sosial yang meruncing apabila ia melibatkan kanak-kanak seawal usia 10 tahun yang akhirnya memberi kesan buruk kepada kesihatan mereka.

"Bahan khayal termasuk (ubat-ubatan) psikotropik dan gam tidak dikategorikan sebagai bahan haram, tetapi anda boleh membuat campurannya dan menjadi khayal.

"Ia sebenarnya memberi kesan kepada otak terutamanya kepada golongan muda seawal usia 10 tahun," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Membanteras Gejala Dadah di Perdana Putra, di sini pada Khamis.

Mesyuarat tersebut turut dihadiri Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman serta Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Liew Vui Keong dan P. Waytha Moorthy.

Dr Wan Azizah berkata jawatankuasa turut bersetuju untuk mengeluarkan Seksyen 8 dan 9 Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983 daripada Akta Pendaftaran Jenayah dan Orang Yang Tak Diingini 1969.

"Ini supaya penagih dadah yang telah menjalani pemulihan secara sukarela tidak didaftarkan di dalam pendaftaran jenayah," katanya.

Menurutnya, cadangan itu adalah berdasarkan keperluan untuk menghilangkan stigma kepada penagih dadah yang sudah pulih, membolehkan bekas penagih di bawah seksyen berkenaan memperoleh peluang pekerjaan, dan memberi peluang kepada mereka menjalani kehidupan baharu serta berfungsi dalam masyarakat.

Selain itu, katanya jawatankuasa mencadangkan agar insentif yang ditawarkan kepada majikan yang mengambil bekas banduan untuk bekerja turut diperluaskan kepada majikan yang mengambil bekas penagih dadah untuk bekerja.

"Hasil kajian menunjukkan kadar pemulihan akan lebih baik sekiranya klien (bekas penagih dadah) mempunyai pekerjaan untuk meneruskan kehidupan bagi menyara diri mereka dan keluarga," katanya.- BERNAMA.

Artikel Sebelum

Artikel Lain