suria

Azmin jawab spekulasi percutian dengan Hisham di Marrakesh

Gambar percutian Mohamed Azmin dan Hishammuddin yang dimuat naik oleh Ameer di Twitter.

SEMENYIH: Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menafikan dakwaan bahawa beliau dan Datuk Seri Hishammuddin Hussein merancang percutian di Maghribi dengan keluarga mereka.

Menteri Ekonomi itu berkata bahawa beliau hanya terserempak dengan Hishammuddin di Marrakesh.

"Saya tidak pergi bercuti dengan beliau, saya hanya terserempak dengannya di Maghribi.

"Saya bertemu dengan ramai rakyat Malaysia lain di Maghribi, ini bukan satu isu. Saya bertemu pelajar Malaysia dan pelancong di Maghribi.

"Jadi, janganlah (membuat spekulasi)," kata Mohamed Azmin selepas diminta mengulas mengenai foto keluarga Hishammuddin dan beliau bergambar bersama di Maghribi.

Gambar yang dimuat naik oleh anak sulung Mohamed Azmin, Ameer, menjadi tular di media sosial sekali gus menimbulkan persoalan mengenai pertemuan mereka.

Hishammuddin (kiri) dan Mohamed Azmin (dua dari kanan) dirakam ketika menghadiri majlis perkahwinan yang dianjurkan oleh Datuk Seri Shahiruddin Ab Moin (tengah).

Mohamed Azmin berkata mereka berdua tidak berbual tentang perihal politik.

"Kita perlu lebih bertamadun, jangan fikir setiap kali (pemimpin politik) bertemu, ada perbualan tentang politik," katanya.

Beliau menambah bahawa hubungannya dengan Hishammuddin telah terjalin sejak sekian lama.

"Persahabatan kami telah bermula beberapa dekad lalu, ia bukan sesuatu yang baharu," katanya sambil menambah bahawa beliau adalah satu-satunya ahli politik pembangkang (pada ketika itu) yang menghadiri majlis perkahwinan anak sulung Hishammuddin.

"Bagi kebaikan negara, kita perlu lebih inklusif," katanya. - The Star

Azmin

Artikel Sebelum

Artikel Lain