suria

Lagi mak nyah maut didakwa curi telefon bimbit

KLANG: Kurang sebulan selepas seorang mak nyah dibunuh di Klang, seorang lagi ditemui mati.

Seperti mangsa pertama, mak nyah itu juga berasal dari Sabah, dan turut dipercayai maut selepas didakwa mencuri telefon bimbit.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisoner Shamsul Amar Ramli berkata, polis menerima panggilan kira-kira 3.43 petang pada 1 Januari daripada seorang pembantu perubatan di Hospital Tengku Ampuan Rahimah mengenai mayat seorang wanita dihantar ke sana.

Mereka memberitahu wanita itu, telah dicampak keluar dari sebuah kenderaan di Jalan Batu Nilam, di Bukit Tinggi 2.

Mangsa disahkan meninggal dunia oleh pasukan ambulans yang dihantar ke lokasi kejadian.

"Pemeriksaan ke atas beg tangan mangsa tidak menemui sebarang dokumen pengenalan," kata Shamsul Amar.

ARTIKEL BERKAITAN: Mak Nyah maut dibelasah sekumpulan lelaki

Beliau berkata, pemeriksaan forensik kemudian mendedahkan mangsa seorang mak nyah.

"Mangsa mengalami kecederaan di kedua-dua lutut, buku lali kiri, kening kiri dan hidung, dipercayai berpunca daripada terjatuh dari sebuah kenderaan," tambahnya.

Siasatan lanjut mendedahkan mangsa berusia 37 tahun dan mempunyai rekod tiga kes berkaitan dengan dadah.

Seorang lelaki berusia 55 tahun ditahan dan direman tujuh hari bagi membantu siasatan.

Menurut siasatan awal, suspek menuduh mangsa mencuri telefon bimbitnya.

Dia bertemu dengan mangsa yang menafikan tuduhan tersebut.

Mangsa kemudian didakwa terjatuh dari kenderaan pelbagai guna (MPV) yang sedang bergerak.

Shamsul Amar menegaskan bahawa insiden bukan satu jenayah yang membenci golongan mak nyah.

Dalam kejadian bulan lalu, seorang mak nyah berusia 32 tahun dari Sabah maut dibelasah sekumpulan anak muda, selepas dipercayai mencuri telefon bimbit. - The Star

mak nyah

Artikel Lain