suria

Sultan Johor, permaisuri bantu budak hidap tumor otak

JOHOR BARU: Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar dan Permaisuri Johor, Raja Zarith Sofiah Almarhum Sultan Idris Shah berkenan membantu seorang kanak-kanak lelaki yang disahkan menghidap tumor otak.

Dalam satu posting di Facebook rasmi Sultan Ibrahim, berita Cheong Shuan Fung yang menderita sakit tumor otak mendapat perhatian Sultan Ibrahim dan Raja Zarith Sofiah.

Menurut posting tersebut, Sultan Ibrahim dan Raja Zarith Sofiah berkenan menghulurkan bantuan bagi meringankan beban yang dihadapi keluarga kanak-kanak itu.

"Selepas kisah penderitaan itu disiarkan laporan media hari ini, Tuanku Sultan Ibrahim dan saya bersedia untuk membantu kanak-kanak kecil itu dan bantuan akan dihulurkan menerusi Yayasan Kanser Tunku Laksamana Johor," titah Raja Zarith Sofiah dalam satu posting di Facebook Sultan Ibrahim pada Isnin.

Shuan Fung disahkan menghidap tumor otak ketika berusia dua tahun dan memerlukan bantuan untuk menjalani kemoterapi.

Menurut laporan The Star, bapa kepada kanak-kanak itu, Wooi Hoong berkata anak lelakinya yang sedang menerima rawatan di Hospital Sultan Ismail (HSI) dekat sini kini sudah tidak boleh melihat.

Wooi Hoong berkata dia bimbang kerana anaknya sekarang sudah hilang selera makan.

Katanya, Shuan Fung menjalani rawatan setiap bulan tetapi bergantung kepada keadaan anak lelakinya itu.

tumor otak, Cheong Shuan Fung

Artikel Lain