Jenazah Adib diterbangkan ke Kedah pagi ini - Semasa | mStar

Jenazah Adib diterbangkan ke Kedah pagi ini

Kenderaan yang dipercayai membawa jenazah Muhammad Adib kelihatan keluar dari Institut Jantung Negara (IJN). - Bernama

KUALA LUMPUR: Jenazah Muhammmad Adib Mohd Kassim (gambar), yang menjalani  proses bedah siasat di Institut Perubatan Forensik Negara (IPFN), Hospital Kuala Lumpur (HKL)  di sini, dijangka diterbangkan ke kampung halamannya di Kedah pada kira-kira 7.30 pagi Selasa.

Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Selangor Hassan ‘As'ari Omar berkata bedah siasat dijangka selesai pada kira-kira 6 pagi ini.Menurutnya, jenazah akan dimandi, dikafan dan disolatkan di IPFN.

Beliau berkata sejurus selepas itu, jenazah Allahyarham akan dibawa ke kemudahan Airod di Subang untuk dibawa pulang ke Kedah.

ARTIKEL BERKAITAN: Adib meninggal dunia di IJN

“Jenazah Muhammad Adib akan diterbangkan menggunakan helikopter dari lapangan terbang berkenaan dijangka pada 7.30 pagi nanti untuk dikebumikan di kampung halamannya," katanya kepada pemberita di luar perkarangan IPFN.

Muhammad Adib meninggal dunia di Institut Jantung Negara pada pukul 9.41 malam Isnin.

Hassan berkata apabila jenazah Muhammad Adib tiba di Kedah, akan berlangsung istiadat pengebumian kebombaan sebagai penghormatan terakhir buat Allahyarham.

Dalam kejadian awal pagi 27 Nov lalu, Muhammad Adib, yang juga anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Subang Jaya, cedera parah dipercayai dipukul sekumpulan perusuh di hadapan Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya.

Allahyarham ketika itu menyertai operasi memadam kebakaran di hadapan kuil berkenaan.

Susulan kematian anggota bomba berusia 24 tahun itu, Timbalan Ketua Polis Selangor Datuk Ab Rashid Ab Wahab berkata kes itu kini diklasifikasikan semula sebagai kes bunuh. - Bernama

Muhammad Adib

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Adib meninggal dunia di IJN

Artikel Lain

Derita si janda muda