suria

Siasat pembalakan mencurigakan yang berleluasa di Kedah!

Seorang penduduk menunjukkan warna air sungai seakan 'teh tarik' akibat aktiviti pembalakan di Gunung Inas.

ALOR SETAR: Kegiatan pembalakan mencurigakan di Kedah, termasuk hutan simpan telah mencetuskan siasatan baharu dilakukan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), iaitu hampir setahun selepas siasatan awal gagal.

Pada Januari, pembalakan di kawasan hutan seluas 500 hektar yang terletak dalam kawasan rizab hutan Bukit Enggang di Sik diteruskan tanpa laporan Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA), dan pembalak degil kini kembali meneruskan perbuatan tersebut.

Kali ini, aktiviti pembalakan ditemui berlaku di Hutan Simpan Rimba Teloi (950 hektar) di Sik, Gunung Bongsu (376.63 hektar) di Kulim dan Gunung Inas (380 hektar) di Baling.

Pemeriksaan dengan Jabatan Alam Sekitar negeri (DoE) mendapati tiada kelulusan EIA diberikan kepada aktiviti pembalakan di Rimba Teloi dan Gunung Bongsu.

Di Gunung Inas, dipercayai pihak berkuasa tidak menerima permohonan untuk melaksanakan aktiviti pembalakan.

Kata ketua kumpulan sokongan Komuniti Air, Mohd Sobri Ramlee yang telah berusaha keras untuk menghentikan kegiatan tersebut, dia mendakwa mempunyai bukti bahawa pembalakan berlaku ketika kelulusan laporan EIA masih belum selesai.

"Saya telah menulis kepada Jabatan Perhutanan dan menunjukkan gambar pembalakan yang berlaku.

"Di Gunung Inas, terdapat empat tandas buatan manusia yang digunakan oleh pekerja, dengan kumbahan mentah dibebaskan ke dalam sungai dan mencemarkannya.

"Ini adalah sumber air yang penting untuk kira-kira 500 penduduk kampung yang tinggal berdekatan.

"Kini, terdapat beberapa tanah di hutan simpan yang mana pokok-pokoknya telah ditebang dan ditanam dengan pokok durian Musang King," katanya. - The Star

pembalakan haram

Artikel Lain