"Tak mungkin!" - Ketua Penerangan tolak tanggapan Bersatu jadi Umno 2.0 - Semasa | mStar

"Tak mungkin!" - Ketua Penerangan tolak tanggapan Bersatu jadi Umno 2.0

Mohd Radzi Md Jidin.

PUTRAJAYA: Tindakan segelintir individu menggelar Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sebagai Umno 2.0 disifatkan sebagai penghinaan kepada perjuangan ahli parti itu yang berusaha keras menumbangkan kerajaan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) lalu.

Ketua Penerangan Bersatu, Dr Mohd Radzi Md Jidin menegaskan Bersatu adalah parti pilihan semula jadi bagi bekas ahli dan pemimpin Umno kerana objektif perjuangan adalah berlandaskan prinsip menegakkan kebenaran.

"Bersatu dipilih sebagai pilihan semula jadi daripada pihak sana (Umno). Sebab itu bila kita menang dan ada wakil rakyat pembangkang yang keluar parti , mereka akan disebut-sebut masuk Bersatu.

"Tapi apabila ada orang kata (Bersatu) akan diambil alih oleh Umno... jadi Umno 2.0, ia dianggap satu penghinaan kepada perjuangan parti. " katanya dalam temu bual bersama media menjelang Perhimpunan Agung Tertinggi Bersatu (PAB) di sini, Jumaat.

Beliau berkata demikian bagi mengulas dakwaan segelintir pihak yang menyifatkan Bersatu kini sebagai Umno 2.0 susulan tindakan beberapa pemimpin Umno yang menyertai parti itu sejak kebelakangan ini.

Pada masa sama, Mohd Radzi yang juga Timbalan Menteri Hal Ehwal Ekonomi menegaskan Bersatu tidak mungkin akan diambil alih oleh Umno.

"Parti ini ditubuhkan dengan semangat, keringat dan air mata. Kita takkan biarkan orang lain ambil alih parti kita sesuka hati. Ramai antara kita berjuang sehelai sepinggang, saya sendiri melaluinya.

"Kita akan pertahankan prinsip perjuangan kita. Perjuangan ini dalam masa dua tahun walaupun singkat tapi nilainya cukup tinggi," katanya.

Mengulas mengenai trend lompat parti bekas pemimpin Umno sejak akhir-akhir ini, Mohd Radzi berkata, Bersatu tidak sewenang-wenangnya menerima sesiapa sahaja untuk menyertai parti itu.

"Boleh buat permohonan nak masuk tapi keputusan untuk menerima atau tidak terletak di tangan kepimpinan parti.

"Kita akan pastikan mereka yang masuk (Bersatu) telah diteliti dan ditapis bagi memastikan mereka bersedia berjuang bersama visi dan objektif parti, bukan menjadikan (Bersatu) tempat untuk keluar masuk," katanya.

Jelas beliau lagi, mana-mana bekas ahli atau pemimpin Umno yang menyertai Bersatu juga perlu menyelami asas perjuangan parti yang ditubuhkan untuk membanteras penyelewengan, amalan rasuah dan mengamalkan tadbir urus yang baik.

"Apabila kita masuk rumah orang kita kena ikut undang-undang yang ditetapkan tuan rumah. Itulah konteks penghijrahan mana-mana pemimpin.

"Oleh itu dengan mekanisme yang kita ada, saya yakin kita dapat mengkaji dan menenliti proses penyertaan mana-mana pihak," katanya.

Bersatu , Umno

Artikel Sebelum

Enam lagi ahli Parlimen Umno keluar parti

Artikel Berikut

Artikel Lain