Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang sesak macam 'pasar malam' - Semasa | mStar

Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang sesak macam 'pasar malam'

Jeff menyifatkan keadaan di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang sesak seperti 'pasar malam'.

GEORGE TOWN: Hanya tinggal beberapa hari lagi menjelang akhir tahun, beberapa pesawat terakhir yang terbang ke Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (PIA) bagi tahun ini akan membantu memecahkan rekod aliran penumpang tahunan bagi lapangan terbang tersebut.

PIA adalah lapangan terbang tertua di Malaysia dan bersedia untuk melepasi prestasi tahun lalu dengan lebih 500,000 penumpang yang masuk dan keluar dari terminal.

Ia bakal mencatatkan lebih daripada 7.8 juta ketibaan dan pelepasan pada tahun ini, dengan rekod 7,231,598 pada tahun lalu.

Pada 2016, aliran penumpang adalah seramai 6,684,026 orang.

Bagaimanapun, PIA dibina untuk menampung jumlah maksimum seramai 6.5 juta pelancong setiap tahun.

Seorang penumpang berkata, lapangan terbang tersebut kini mengalami 'limpahan penumpang' dan 'tidak boleh menampung satu lagi kemasukan kapal terbang'.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Pelancongan Negeri, Yeoh Soon Hin berkata, Disember adalah bulan puncak bagi operasi PIA dengan mencatatkan jumlah 608,010 penumpang pada 2015; 650,278 pada 2016 dan 700,659 pada 2017.

"Antara bulan Januari dan Oktober ini, aliran penumpang lapangan terbang antara 585,000 hingga 682,000 sahaja sebulan dan kami menjangkakan aliran bulan ini akan melepasi 700,000 lagi," katanya.

Katanya, peningkatan pada bulan ini berpunca daripada sambutan perayaan dan acara menarik seperti Krismas Jazz, Pesta Bot Naga Antarabangsa Pulau Pinang, Chingay Pulau Pinang, perarakan Tarian Singa dan Naga serta Pesta Pulau Pinang.

Yeoh berkata PIA memecah jangkaan kadar pertumbuhan 6 peratus dan perbandingan bulanan bagi Oktober 643,539 (tahun ini) dan 602,198 (tahun lepas) menunjukkan peningkatan sebanyak 7.8 peratus.

Sementara itu, pengerusi Jawatankuasa Kerja Negeri, Zairil Khir Johari (gambar) berkata, perancangan untuk mengembangkan lapangan terbang itu telah diambil kerana negeri tersebut menyasarkan untuk menampung seramai 16 juta penumpang setahun.

Sebelum ini dilaporkan bahawa pelan pengembangan adalah untuk 10 juta penumpang setahun.

Dalam pada itu, bekas Ahli Parlimen Jelutong, Jeff Ooi, yang berada di lapangan terbang berkenaan baru-baru ini berkata, kawasan pelepasan nampak seperti 'pasar malam'.

"Terdapat kerja-kerja pengubahsuaian di kawasan yang selalu berlaku banjir pada waktu hujan. Jadi, semua orang yang menunggu penerbangan mereka terpaksa bersesak di tingkat atas," katanya. - The Star

Artikel Berikut

Mak Nyah maut dibelasah sekumpulan lelaki

Artikel Lain