Pinda laporan audit 1MDB: Hampir 3 jam ditahan, SPRM lepaskan Najib - Semasa | mStar

Pinda laporan audit 1MDB: Hampir 3 jam ditahan, SPRM lepaskan Najib

Datuk Seri Najib Razak ditahan sekitar pukul 11 pagi, Isnin.

Dikemaskini

PUTRAJAYA: Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada pagi Isnin berhubung kes pindaan Laporan Akhir Pengauditan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) telah dilepaskan.

Menurut sumber, Ahli Parlimen Pekan itu dilepaskan dengan jaminan SPRM jam 1.20 petang.

Sumber turut memaklumkan, bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Arul Kanda dijangka hadir memberikan keterangan ke SPRM pada Selasa.

Beliau ditahan pukul 10.50 pagi di ibu pejabat SPRM di sini, sejurus tiba bagi pendengaran kes berkenaan.

Najib dirakam memasuki bangunan berkenaan pada pukul 10.42 pagi, Isnin.

Sumber SPRM bagaimanapun berkata, Najib dibebaskan jika dia membuat bayaran jaminan wang tunai.

Pada 25 November lalu, Ketua Audit Negara, Tan Sri Dr Madinah Mohamad berkata, sebahagian audit akhir 1MDB dibuang.

Menurutnya, perkara penting yang tidak dimasukkan dalam laporan itu ialah mengenai kehadiran ahli perniagaan yang diburu Low Taek Jho atau Jho Low dalam satu mesyuarat Lembaga Pengarah 1MDB dan kedua berkenaan status kewangan 1MDB.

Tambahnya lagi, arahan pengubahan itu diberikan oleh Tan Sri Shukry Salleh, yang juga ketua setiausaha sulit Najib sewaktu dia menjadi perdana menteri.

Selain Najib, SPRM turut memanggil beberapa individu bagi siasatan kes berkenaan.

Ia termasuklah Tan Sri Dzulkifli Ahmad, Tan Sri Ambrin Buang dan Tan Sri Dr Ali Hamsa serta Arul Kanda Kandasamy.

Datuk Seri Najib Razak , 1MDB , SPRM

Artikel Sebelum

Polis tahan 7 suspek kumpulan pengganas

Artikel Berikut

Artikel Lain

Derita si janda muda