suria

Istimewanya Pok Su Mie... tak ada tangan nak menjahit, guna jari kaki pun boleh!

Pok Su Mie memotong kaki seluar untuk dijahit di kedai jahitnya yang terletak di Machang, Kelantan. -fotoBERNAMA

SUKAR dibayangkan apabila seseorang tukang jahit memasukkan benang ke dalam lubang jarum yang begitu halus menggunakan jari-jari kaki, tetapi tugas itu bukanlah sukar bagi Rahim Yusof, seorang tukang jahit istimewa yang dilahirkan tanpa kedua-dua belah tangan, di Pulai Chondong, Machang, Kelantan.

Rahim, 52, yang lebih mesra dengan panggilan Pok Su Mie, begitu cekap memasukkan benang ke dalam lubang jarum menggunakan jari-jari kaki, suatu kemahiran yang dilakukannya sejak lebih 30 tahun lepas.

Bukan sahaja menjahit, dia yang hanya mempunyai dua jari di bahu kanan, turut menggunakan kedua-dua belah kakinya untuk melakukan rutin harian seperti menjawab telefon dan memandu kereta.

-fotoBERNAMA

Meskipun kelihatan pelik di mata orang lain namun bagi yang biasa melihatnya, perkara itu sudah menjadi lumrah dan semua pelanggan Pok Su Mie tahu mengenainya.

"Semua urusan memotong kain dan menjahit saya lakukan menggunakan kaki dan setakat ini semua pelanggan nampaknya berpuas hati.

"Sebenarnya kemahiran menjahit ini saya pelajari di Pusat Pemulihan Orang Kelainan Upaya, Cheras, Kuala Lumpur 30 tahun lalu dan sehingga kini kemahiran itulah saya gunakan untuk menyara keluarga," katanya yang mempunyai seorang isteri, Noraishah Hamzah, 44, dan tiga orang anak yang masih bersekolah.

Rahim berkata untuk menanggung keluarga, dia sebelum ini mengusahakan ternakan itik telur namun kesemuanya musnah selepas dilanda banjir besar pada 2014.

"Dahulu saya mempunyai beribu-ribu ekor itik dan dipelihara berdekatan rumah namun banyak yang mati dan hilang selepas banjir.

"Saya kini merancang untuk membina kembali perusahaan itu dengan bantuan pelbagai pihak. Sekiranya ada rezeki saya juga berminat untuk memelihara haiwan lain seperti lembu atau kambing," katanya.

-fotoBERNAMA

Mengulas memgenai kerjaya sebagai tukang jahit, Rahim berkata dia mengambil tempahan baju Melayu, pakaian wanita serta menjahit seluar jeans.

"Saya mampu menghasilkan sepasang baju Melayu atau kemeja dalam masa sehari dengan upah RM90 selain menjahit jubah wanita dan membaiki seluar jeans dengan harga serendah RM5.

"Menerusi kerja ini, saya memperoleh pendapatan sekurang-kurangnya RM15 hingga RM20 sehari dan dengan pendapatan itulah saya menyara keluarga," katanya yang turut mendapat bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat sebanyak RM400 sebulan.

-fotoBERNAMA

Rahim berkata walaupun dia dan isteri tergolong sebagai Orang Kelainan Upaya namun mereka bersyukur kerana kesemua anak dilahirkan normal.

Jelasnya, Noraishah yang dijodohkan dengannya oleh keluarga, hanya mampu mengesot akibat menghidap demam panas ketika kecil dan tidak boleh melakukan kerja berat.

"Saya bersyukur kerana masih mampu berdikari dan tidak menyusahkan orang ramai. Dengan kudrat yang ada inilah saya akan berusaha menyara keluarga apatah lagi anak-anak yang berusia antara lima hingga 14 tahun masih belum boleh berdikari," katanya yang turut aktif dalam sepaktakraw dan bola sepak sebagai aktiviti harian. -Bernama

tukang jahit, OKU, jari kaki

Artikel Berikut

Artikel Lain