suria

Tiga dipercayai maut, beberapa mangsa cedera, letupan di pusat beli-belah di Kuching

Keadaan di sebuah pusat membeli-belah di Kuching selepas insiden letupan pada petang Selasa. Foto twitter bernamadotcom

KUCHING: Tiga mangsa, kesemuanya lelaki, dipercayai maut dan beberapa lagi cedera selepas satu letupan berlaku di sebuah pusat membeli-belah di sini, Selasa.

Pasukan bomba dan penyelamat berada di tempat kejadian bagi memeriksa mereka yang cedera.

Beberapa saksi memberitahu letupan menyebabkan siling di satu bahagian di pusat membeli-belah itu runtuh.

Bagaimanapun setakat ini tidak diketahui berapa ramai yang cedera. 

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Padungan, Wong King Wei berkata, beliau dimaklumkan terdapat tiga kematian.

Seorang kakitangan sebuah kedai yang dikenali sebagai Niedazaie berkata, dia mendengar bunyi bising seperti satu letupan selepas pukul 3 petang.

"Bunyinya sangat kuat. Saya mulanya ingatkan bunyi guruh tetapi ia kedengaran sangat kuat. Kemudian saya rasa bergegar dan kami diberitahu untuk keluar dari bangunan," katanya.

Seorang mangsa, yang hanya mahu dikenali sebagai Benny berkata, dia sedang memasang peralatan minuman semasa kejadian berlaku.

"Dinding runtuh dan menimpa saya. Semua orang panik," katanya, sambil menambah terdapat kira-kira 20 orang di lokasi kejadian ketika itu. - The Star

letupan

Artikel Lain