suria

Isu kuil tular di pelbagai platform adalah berita palsu - Polis

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesan penularan berita palsu  dalam pelbagai bentuk dan platform yang memanipulasi isu kuil Sri Maha Mariamman di USJ 25, Subang Jaya.

Ketua Komunikasi Korporat PDRM Datuk Asmawati Ahmad dalam satu kenyatan hari ini berkata berita palsu itu boleh membangkit kegusaran melampau berhubung keselamatan negara.

Ia juga, katanya boleh mengguris sentimen perkauman dan sensitiviti masyarakat majmuk di negara ini.

“PDRM ingin menasihati orang ramai agar tidak mudah percaya dan terpedaya dengan berita provokatif, yang boleh membangkitkan ketidakpuasan hati serta mengundang tindak balas mana-mana pihak yang rasa tercabar dengan kenyataan-kenyataan sedemikian,” katanya.

Asmawati menegaskan PDRM menjunjung tinggi hak kebebasan bersuara tetapi harus diingat bahawa ia mempunyai batasannya serta tidak boleh disalahguna untuk kepentingan tersirat.

"Janganlah ada mana-mana pihak yang bertindak atau membuat sebarang bentuk kenyataan provokatif yang boleh menimbulkan ketegangan dalam kalangan masyarakat,” katanya.

Katanya, PDRM memberi jaminan bahawa keadaan keselamatan dan ketenteraman awam akan terus dipelihara.

"Tindakan tegas berlandaskan undang-undang akan diambil ke atas mana-mana pihak yang terbukti cuba memporak-perandakan kesejahteraan masyarakat, memecahbelahkan perpaduan rakyat dan memperjudi keamanan negara,” katanya.

PDRM mengambil kesempatan ini untuk mengulangi kenyataan perdana menteri bahawa insiden rusuhan yang berlaku di tapak kuil Sri Maha Mariamman itu bukan melibatkan isu perkauman atau berkaitan agama.

"Ia sebenarnya satu tindakan jenayah yang tidak harus diberi sebarang ruang untuk merosakkan perpaduan dan hubungan kaum di negara ini,” katanya.  -- Bernama    


polis, kuil, tular

Artikel Lain