Teh O ais udang, geli atau 'hipster'? Pemuda serik tak mau makan di kedai sama lagi - Semasa | mStar

Teh O ais udang, geli atau 'hipster'? Pemuda serik tak mau makan di kedai sama lagi

PETALING JAYA: Jika sebelum ini pernah tular mengenai lipas yang ditemui dalam makanan, lain pula kali ini apabila seorang pemuda dikejutkan dengan 'kehadiran' seekor udang tanpa kepala dalam bungkusan minuman yang dibelinya di sebuah premis di Negeri Sembilan.

Menerusi posting yang dimuat naik ke Twitter, Iqbal Sheikh Ali, 21, berkongsi foto minuman berkenaan yang boleh disifatkan sebagai jijik dan menggelikan.

Bercerita lanjut kepada mStar Online, Iqbal berkata, ia bukan kunjungan pertamanya ke premis perniagaan itu yang terletak di Nilai.

"Sebelum ni dah tiga atau empat kali saya beli makanan kat situ, tak ada apa-apa masalah. Tapi pada hari kejadian, saya suruh kawan bungkus makanan dan minuman dari kedai tu, untuk kami makan kat rumah saya.

"Masa tengah buka plastik air baru saya perasan ada udang dalam teh o ais yang saya kirim.

"Memang geli, jadi saya buang sahaja. Lepas kejadian tu, saya memang serik dan mungkin tak akan pergi makan kat kedai tu lagi," ujarnya sewaktu dihubungi, Rabu.

Menurut kakitangan di sebuah agensi pelancongan itu, dia bagaimanapun tidak mahu membesarkan hal berkenaan kerana mengenali pemilik kedai tersebut.

Paparan skrin perkongsian Iqbal yang tular di Twitter.

Ujarnya lagi, dia juga tidak menyangka perkongsian itu akan menarik perhatian ramai sehingga menerima lebih 7,000 ulang kicau (Retweet).

"Saya tak pergi minta ganti rugi pun, tak sempat nak pergi sebab agak sibuk.

"Tapi InsyaAllah saya berhasrat untuk jumpa pemilik kedai, face to face untuk maklumkan mengenai hal ini. Kalau pergi, saya tegurlah.

"Malah, kawan saya pun ada screenshoot posting saya dan hantar pada anak pemilik kedai tu," katanya lagi.

Dalam pada itu, Iqbal juga berharap kedai berkenaan serta pengusaha-pengusaha lain agar lebih berhati-hati dalam penyediaan makanan dan minuman agar insiden sama tidak berulang.

Antara komen netizen di posting berkenaan.

"Saya nasihatkan orang ramai supaya berhati-hati, orang kedai juga perlu peka dalam menjaga kebersihan.

"Kita nak bagi orang makan, tak nak lah ada kejadian keracunan dan sebagainya," kata Iqbal.

Selain kisah teh o ais udang yang dialami Iqbal, beberapa netizen turut meninggalkan komen mereka di posting itu, bercerita mengenai pengalaman yang hampir sama.

"And me, minum nescafe then sedutan terakhir tu dapat biji cili, terpelanting lepas orang tu korek gigi ke macam mana? or i dapat straw recycle orang guna untuk korek gigi?," tulis @khadijahsazili.

"Member aku order kopi ais, minum dah nak habis baru sedar ada kulit ayam kat bawah. Hahaha, awal tu dia dah pelik sedut macam lekat-lekat. Tapi dia buat tak tau ja. Sampai sekarang boikot kopi ais kedai tu," tulis @MatMirul pula.

"Kira okay teh o ais udang aku dapat teh o ais taik tikus and dah minum sampai tinggal suku daahh, memang ummph kot, tengah dahaga pulak ann," kongsi seorang lagi pelayar Twitter.

Teh O Ais Udang , Iqbal Sheikh Ali

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain