suria

Icerd: Jangan buat andaian melampau - Mujahid

Dr Mujahid Yusof Rawa. Foto: Bernama

KEPALA BATAS: Masyarakat dinasihat untuk tidak membuat andaian melampau berhubung hasrat Malaysia untuk meratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (Icerd) yang boleh menimbulkan berbagai persepsi negatif dalam hubungan antara kaum di negara ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa berkata kerajaan juga tidak tergesa-gesa berhubung rundingan berkenaan dan akan meneliti terlebih dahulu perkara tersebut dengan lebih terperinci.

"Apa yang ingin saya nasihatkan dalam hal ini, kita perlu menerima nasihat Perdana Menteri Tun Dr  Mahathir Mohamad bahawa perkara ini perlu dibincang dahulu, tidak boleh tergesa-gesa dan kita pun tidak melihat perkara ini perlu dibuat tergesa-gesa," katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis penutup Kafa Interaktif peringkat negeri Pulau Pinang pada Selasa.

Mujahid turut menyuarakan kebimbangannya terhadap keghairahan pihak-pihak tertentu yang cuba menggambarkan isu tersebut (Icerd)  satu fakta yang tidak betul antara lainnya  jika ditandatangani hak orang Melayu akan terhapus.

"Selain hak orang Melayu, hak raja-raja juga dikatakan akan terhapus, Islam dan sebagainya sedangkan benda itu tidak timbul. Segala apa yang kita buat perjanjian di peringkat antarabangsa sekalipun akan berakhir keputusan itu di peringkat penggubalan undang-undang iaitu di Parlimen dan tidak semestinya mereka setuju," katanya.

Beliau turut memberi jaminan bahawa perjanjian Icerd tidak akan  mengubah entiti negara sama ada dari sudut perlembagaan, kebudayaan dan sebagainya.

Mujahid berkata pihaknya akan mengadakan rundingan meja bulat esok bersama Badan-badan Bukan Kerajaan (NGO) Islam termasuk Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) bagi mendapatkan input dan maklum balas mengenai perkara tersebut.

"Dari situ (rundingan meja bulat) ia mungkin dapat membantu perdana menteri mendapatkan maklumat lengkap termasuklah memorandum yang telah dikemukakan oleh Gerakan Pembela Ummah yang baru-baru ini datang ke Parlimen dan ia akan turut dijadikan input," katanya.

Pada Rabu lepas, perdana menteri dilapor berkata rundingan melibatkan semua kaum akan dilakukan sebelum meratifikasi Icerd dan mengakui ia bukan perkara mudah memandangkan Malaysia merupakan negara dengan penduduk berbilang kaum dan masing-masing dengan kepentingan tertentu.

Dalam perkembangan lain, Mujahid mengakui terdapat aktiviti pengedaran kitab Bible kepada pelajar di hadapan sebuah sekolah menengah di Bukit Mertajam seperti yang tular di laman sosial baru-baru ini.

Mujahid berkata beliau telah mengambil langkah dengan mendapatkan maklumat terlebih dahulu berhubung perkara itu daripada Jabatan Agama Islam negeri, Jabatan Pendidikan negeri dan Anggota Parlimen Bukit Mertajam dan ternyata kegiatan itu benar.

"Daripada maklumat yang kami dapat, ia memang berlaku perkara tersebut, cuma isunya ialah masih lagi kita melihat, sama ada kesalahan mengedarkannya itu kepada orang Islam. Ini kerana  Artikel 11 (4) jelas menyebut agama lain bebas mengamalkan tetapi tidak boleh didakwahkan dan dipromosikan.

“Saya ingin memberi nasihat  jangan menimbulkan apa-apa  masalah kerana kita kena hormat Perlembagaan Persekutuan yang ada," katanya.

Katanya pihak yang berbuat demikian bukannya dari pihak Kristian atau gereja di situ tetapi dipercayai dari wakil NGO dan beliau  turut meminta NGO terbabit agar tidak menimbulkan apa-apa masalah kepada  masyarakat.

Mujahid berkata pihaknya mahu isu tersebut diselesaikan dan tidak mahu sebarang unsur kebencian timbul di sebalik perlakuan aktiviti tersebut.- Bernama

Mujahid Yusof Rawa

Artikel Lain