suria

Beri RM120 tapi dapat resit Grab RM1, wanita baik hati tertipu ‘drama’ penumpang hamil

Gambar hiasan.

PETALING JAYA: Niat ikhlas seorang perempuan membantu seorang wanita hamil yang mendakwa dirinya dirompak ternyata sia-sia apabila menyedari dirinya sebenarnya telah ditipu.

Lee Wen Lin dalam satu posting di Facebook berkongsi kisahnya, dipercayai menjadi mangsa penipuan pemandu teksi yang menggunakan wanita hamil sebagai modus operandi, dalam kejadian di sebuah pusat beli-belah terkemuka di ibu negara Jumaat lalu.

Semasa kejadian, Wen Lin berkata dia didatangi seorang wanita hamil di dalam sebuah lif yang mendakwa dirinya telah dirompak di tempat letak kereta.

"Wanita itu kata dia mengalami pendarahan dan terasa sakit hendak bersalin. Jadi saya pinjamkan telefon bimbit saya supaya dia boleh hubungi suaminya dan juga buat panggilan kecemasan 999.

"Semasa buat panggilan, tangannya menggigil dan air matanya mengalir. Dia kata suaminya tak jawab panggilan telefon - mesti tengah terbangkan pesawat ketika ini (suaminya seorang juruterbang).

"Menurutnya, 999 beri maklum balas bahawa dia perlu pergi ke sebuah hospital dengan menggunakan kenderaan persendirian. Dia menggigil dan menangis sambil berkata tiada siapa yang membantunya termasuk pihak keselamatan di pusat membeli-belah tersebut," katanya.

Sebak melihat keadaan wanita itu, Wen Lin berkata dia menawarkan diri untuk mendapatkan perkhidmatan Grab bagi membawanya ke hospital berdekatan.

"Dia kata dia perlu pergi ke Pusat Perubatan Subang Jaya (SJMC) kerana di situlah tempat dia akan bersalin. Hospital lain atau klinik tidak akan menerimanya.

"Jadi saya tempah GrabCar dan menggunakan GrabPay tetapi dia berkeras mahu menggunakan GrabTaxi dengan bayaran tunai dengan alasan kerusi kulit tidak akan dikotori kesan darah di pakaiannya," kata Wen Lin.

Posting Lee Wen Lin tular di media sosial.

Gadis yang bekerja di sebuah syarikat telekomunikasi itu berkata, sebelum masuk ke dalam teksi tersebut, suspek turut meminta sedikit wang daripadanya.

"Aplikasi Grab menganggarkan (bayaran) antara RM50-RM80, jadi saya beri dia RM120 atas dasar kasihan," katanya.

Namun Wen Lin menyedari dia ditipu selepas menerima resit daripada aplikasi Grab yang ditempahnya untuk membawa wanita hamil itu ke hospital.

"Dalam tempoh lima minit selepas teksi berlalu pergi, perjalanan terhenti. Kos teksi hanya RM1, melihat kepada resit Grab yang saya perolehi," katanya.

Bukan sahaja wang RM120 miliknya lesap, Wen Lin turut menyedari wanita tersebut tidak membuat panggilan kecemasan 999.

"Melihat semula log panggilan di telefon bimbit saya, saya menyedari 999 tidak pernah menjawab panggilannya. Wanita itu sebenarnya berpura-pura bercakap melalui telefon.

"Saya mengesyaki ini mungkin modus operasi baru yang digunakan pemandu teksi dan wanita hamil untuk menipu mangsa," katanya.

Susulan itu, Wen Lin menasihati orang ramai supaya waspada dengan wanita hamil yang menggunakan taktik sama untuk mendapatkan wang.

"Saya sepatutnya membawa wanita hamil itu ke pejabat keselamatan atau meminta bantuan daripada orang ramai berdekatan atau menghubungi panggilan kecemasan 999 sendiri," katanya.

Posting mengenai insiden itu tular di media sosial dan dikongsi lebih 1,000 kali.

Netizen memuji niat murni Wen Lin dan menasihatinya supaya lebih berhati-hati selepas ini.

hamil, scam, Grab

Artikel Lain