suria

Zahid Hamidi beri keterangan kali keempat di SPRM Putrajaya

PUTRAJAYA: Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi tiba di ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di sini untuk memberi keterangan dipercayai berhubung siasatan dakwaan kes penyelewengan dana sebuah yayasan.

Ini merupakan kemunculan keempat Ahmad Zahid di khalayak ramai setelah SPRM mengarahkan beliau hadir pada Khamis.

ARTIKEL BERKAITAN:Zahid hadir beri keterangan di SPRM

Ahmad Zahid yang datang menaiki kenderaan Toyota Land Cruiser berwarna putih tiba pada kira-kira 9.15 pagi tanpa polis pengiring.

Polis dilihat mengawal ketat perkarangan bangunan SPRM.

Ahmad Zahid yang berpakaian batik bercorak petak berbunga diiringi beberapa pegawai SPRM dan terus masuk ke perkarangan bangunan itu dan hanya melambai-lambai kepada puluhan wakil media yang merakamkan gambarnya.

Difahamkan, Ahmad Zahid akan memberi keterangan kepada pegawai SPRM di bilik soal siasat di bangunan itu.

Selain Ahmad Zahid, turut dilihat adalah anak kepada bekas timbalan perdana menteri berkenaan, iaitu Datuk Nurulhidayah Ahmad Zahid, yang dipercayai menemani bapanya.

Puluhan wartawan tempatan dan antarabangsa kelihatan berkumpul di perkarangan ibu pejabat SPRM seawal 8 pagi untuk membuat liputan kes berkenaan.

Isnin lepas, Ahmad Zahid menerusi laman Twitter rasminya berkata beliau akan memberi kerjasama penuh kepada SPRM.

Pada Rabu, Ahmad Zahid hadir memberi keterangan kali ketiga berhubung kes yang sama selama lapan jam di SPRM di sini.

Pada Julai lepas, Ahmad Zahid memberi keterangan sebanyak dua kali kepada SPRM berhubung siasatan terhadap dana Yayasan Akal Budi milik keluarganya yang ditubuhkan untuk menjalankan aktiviti amal —BERNAMA

Datuk Seri Dr Zahid Hamidi, SPRM

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain