suria

Kerajaan kaji perkenal cukai baharu untuk lunas hutang

KUALA LUMPUR: Kerajaan mungkin perlu memperkenalkan cukai baharu untuk melunaskan hutang negara, kata Tun Dr Mahathir Mohamad berikutan pentadbiran terdahulu meninggalkan banyak masalah yang menjadikan Malaysia 'dari harimau Asia kepada anak kucing yang kecil'.

Cara lain adalah menjual sebahagian daripada tanah kerajaan kepada penduduk setempat untuk menaikkan sumber dana baharu.

Perdana Menteri berkata, masalah utama yang sedang dihadapi kerajaan adalah mencari wang yang diperlukan untuk membayar hutang besar yang ditinggalkan oleh pentadbiran terdahulu.

Beliau berkata, terdapat cadangan bahawa kerajaan perlu memperkenalkan cukai baharu.

"Saya tidak fikir ia adalah sesuatu yang dialu-alukan oleh rakyat, tetapi kita perlu membuat cukai baharu untuk mendapatkan wang bagi membayar hutang kita," kata Dr Mahathir pada ucaptama sempena Forum Malaysia Dalam Era Baharu anjuran RHB, Maybank dan CIMB di sini, Selasa.

Satu lagi perkara yang boleh dilakukan oleh kerajaan, kata Perdana Menteri, adalah menjual beberapa aset untuk meningkatkan dana yang diperlukan.

Dr Mahathir berkata, tanah merupakan sejenis aset yang boleh dipertimbangkan oleh kerajaan.

Namun, beliau menyedari bagaimana kerajaan terdahulu menjual banyak tanah kepada orang asing.

"Saya tidak fikir ia wajar bagi kita, tetapi kita masih boleh menjual tanah kepada penduduk tempatan supaya mereka boleh membangunkan projek perumahan dan penempatan yang mereka percaya akan memberi pulangan," katanya.

Perdana Menteri berkata, kerajaan juga mungkin perlu menjual sebahagian asetnya yang berharga, tetapi tidak mengulas lanjut butirannya.

Dr Mahathir berkata, walaupun Malaysia pernah dikenali sebagai harimau Asia, ia kini menjadi 'anak kucing yang kecil' kerana masalah yang ditinggalkan oleh pentadbiran sebelumnya.

cukai, Dr Mahathir Mohamad

Artikel Lain