suria

Draf kaedah bayaran balik PTPTN diserah kepada menteri

PADANG BESAR: Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) telah menyerah draf kaedah pembayaran balik pinjaman kepada Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik untuk tindakan lanjut.

Pengerusinya, Wan Saiful Wan berkata ia juga diserahkan kepada Kementerian Hal Ehwal Ekonomi dan Kementerian Kewangan untuk tujuan memberi input dan penambahbaikan.

“Kita mengesan banyak kelemahan dalam pengurusan pembayaran balik pinjaman sebelum ini dan telah membuat kajian holistik bagi merealisasikan manifesto PH bagi membantu meringankan beban peminjam,” katanya.

Wan Saiful bercakap kepada pemberita selepas melancarkan Pertubuhan Pakatan Aktivis Bersatu Perihatin Rakyat Perlis di Beseri, di sini malam Sabtu.

Menurutnya, antara intipati draf berkenaan ialah peminjam yang berpendapatan rendah atau baru mendapat pekerjaan akan diberi kelonggaran membayar balik pinjaman bagi meringankan beban mereka.

Wan Saiful berkata, agensi itu akan turun padang mengadakan sesi taklimat di seluruh negara dalam masa terdekat supaya orang ramai lebih memahami fungsi PTPTN sekali gus menghentikan sebarang tohmahan dan fitnah terhadapnya.

Pada 20 September lalu, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata hutang terkumpul yang tidak dibayar kepada PTPTN berjumlah RM36 bilion.

Turut hadir pada majlis malam tadi ialah penaung pertubuhan berkenaan, Datuk Seri Diraja Syed Razlan Putra Jamalullail dan Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Perlis Amier Hassan. - BERNAMA

PTPTN

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

KJ kritik ucapan dasar Zahid

Artikel Lain