suria

Enam pegawai imigresen ditahan SPRM, seludup warga asing, penjenayah

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan enam pegawai imigresen yang bertugas di pintu masuk negara kerana didakwa terlibat rasuah dan salah guna kuasa.

Dalam serbuan menerusi operasi di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada Jumaat, turut ditahan seorang ejen yang didakwa bersubahat dengan pegawai imigresen.

Sumber berkata, kesemua suspek dipercayai membantu kira-kira 15 sindiket penyeludupan bagi membolehkan warga asing dan rakyat tempatan yang disenaraihitam, termasuk penjenayah untuk keluar dan masuk menerusi KLIA dan beberapa lapangan terbang lain di negara ini.

Sumber mendakwa, setakat ini, kira-kira 200 orang, dengan kebanyakannya mempunyai rekod dan latar belakang yang meragukan, menyeludup masuk ke negara ini setiap bulan, dengan bantuan sindiket-sindiket ini.

Difahamkan, pegawai-pegawai imigresen yang terlibat, bertugas di kaunter lapangan terbang semasa waktu kerja mereka akan membenarkan pihak berkenaan melepasi pintu masuk.

Menurut sumber, sebagai pulangan, mereka akan menerima sejumlah wang daripada sindiket-sindiket ini dan dikongsikan bersama ejen dan orang tengah.

Berdasarkan risikan, SPRM mengesan pegawai-pegawai imigresen yang terlibat menerusi gaya hidup mewah mereka.

Sebahagian mereka mengaut keuntungan kira-kira RM300,000 sebulan menerusi kegiatan haram itu.

Sumber berkata, bayaran akan dimasukkan ke akaun bank proksi selepas setiap pelepasan yang berjaya.

Pengarah SPRM Kuala Lumpur, Razaliah Abd Rahman mengesahkan penahanan tersebut tetapi enggan mengulas lanjut. - The Star

SPRM, imigresen

Artikel Berikut

Adun Chenderoh cedera kemalangan

Artikel Lain