suria

Najib bakal berdepan beberapa lagi pertuduhan

KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak akan berdepan beberapa lagi pertuduhan, kata Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM Datuk Seri Azam Baki.

Bagaimanapun beliau enggan mengulas lanjut pertuduhan yang bakal dikenakan terhadap Anggota Parlimen Pekan itu.

“Saya tidak nafikan akan ada pertuduhan lain terhadap beliau (Najib),“ katanya kepada pemberita di perkarangan Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, di sini Khamis.

Najib pada Khamis berdepan dengan 21 pertuduhan iaitu melibatkan diri dalam pengubahan wang haram membabitkan lebih RM4.3 bilion dan empat tuduhan rasuah berjumlah RM2.3 bilion melibatkan dana 1Malaysia Development Bhd (1MDB) yang dimasukkan ke akaun peribadi beliau.

Sementara itu, ketika ditanya sama ada isteri bekas Perdana Menteri itu, Datin Seri Rosmah Mansor akan didakwa, beliau tidak menafikannya.

“Saya tidak menafikan tentang itu,” kata Azam.

Media sebelum ini melaporkan Rosmah dijangka berdepan lebih 20 pertuduhan jenayah, kebanyakannya membabitkan pengubahan wang haram.

Mengulas mengenai pertuduhan pertama secara bersama antara SPRM dan Polis Diraja Malaysia Azam berkata ia merupakan kerjasama dua agensi berkenaan.

“Ini sejarah kali pertama dua jabatan berkerjasama...sebelum ini tidak ada kes tuduhan bersama SPRM dan Polis,” katanya. - BERNAMA

Najib Tun Razak, SPRM

Artikel Sebelum

Selepas Najib, Rosmah pula?

Artikel Berikut

Guan Eng hati tisu - Asyraf Wajdi

Artikel Lain